AUKU wajar dimansuhkan, tingkat autonomi universiti - Mahasiswa UM
Atiqah Ismail
Mei 23, 2018 13:02 MYT
Mei 23, 2018 13:02 MYT
Aktivis mahasiswa Demokrat Universiti Malaysia (UM) berpendapat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sewajarnya dimansuhkan kerana ia berkait rapat soal urus tadbir universiti.
Menurut pengasasnya, Daniel Mizan Qayyum AUKU adalah punca kepada universiti hilang kuasa autonomi selain mahasiswa dilayan secara tidak adil di universiti.
“AUKU perlu dimansuhkan kerana soal pentadbiran dan perjalanan universiti amat berkait rapat dengan ketidakadilan terhadap mahasiswa di universiti.
“Apabila datang soal polisi dan keputusan universiti, aspirasi dan keperluan mahasiswa seringkali diabaikan. Ini kerana mahasiswa tidak diangkat sebagai rakan setara universiti di bawah AUKU.
“Antara isu yang dibawa mahasiswa seperti penempatan mahasiswa, soal pengangkutan bas dan keselamatan sering dipandang sebelah mata jika kami cuba ketengahkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Selain itu, beliau yang merupakan mahasiswa jurusan undang-undang turut memberitahu, antara sebab lain AUKU perlu dimansuhkan adalah bagi mengehadkan kuasa menteri dalam melantik jawatan penting dalam universiti.
“Halangan paling besar sehingga AUKU wajar dimansuhkan adalah untuk mengurangkan bidang kuasa menteri dalam melantik dan menentukan jawatan penting di universiti, seperti Canselor dan Timbalan Naib Canselor.
“Ia sekali gus mengurangkan pengaruh politik menyelinap masuk dalam universiti,” jelasnya lagi.
AUKU yang diperkenalkan pada 1971 adalah peruntukan bagi menubuhkan, menyelenggara dan mentadbir Universiti dan Kolej Universiti dan perkara lain yang berkenaan dengannya.
Demokrat UM digerakkan sekumpulan aktivis mahasiswa yang mengangkat isu-isu kemasyarakatan dan kebajikan mahasiswa.
#1971
#Akta Universiti dan Kolej Universiti
#AUKU
#autonomi universiti
#Daniel Mizan Qayyum
#demokrat Universiti Malaysia
#menghadkan kuasa menteri