AUKU tidak perlu dimansuh, hanya tambah baik - Wakil pelajar

Atiqah Ismail
Mei 22, 2018 15:14 MYT
Wakil pelajar USIM, Nazrul Nazir menjelaskan AUKU tidak semestinya dimansuhkan tetapi boleh ditambah baik menerusi beberapa pindaan seksyen dalam akta berkenaan.- Foto Facebook Nazrul Nazir
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 hanya perlu ditambah baik dengan melakukan beberapa pindaan seksyen dalam akta berkenaan.
Menurut bekas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nazrul Nazir, AUKU tidak perlu dimansuhkan kerana yang mengekang kebebasan mahasiswa bersuara hanya membabitkan sebahagian daripada seksyen di dalam akta tersebut.
"AUKU tidak perlu dimansuhkan, hanya perlu dipinda sebahagian peruntukan yang bersifat mengekang suara dan kebebasan pelajar.
"Namun sekiranya kerajaan ingin memansuhkan akta ini dan diganti dengan akta baru yang lebih baik, mahasiswa menyambut baik usaha ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan walaupun AUKU pernah dipinda pada 2012 yang memberi kelonggaran mahasiswa berpolitik di luar universiti sahaja, namun masih wujud unsur diskriminasi terhadap mahasiswa.
"AUKU lebih berkaitan mengenai soal pentadbiran dan perjalanan universiti, tetapi ada sebahagian peruntukan yang bersifat mengekang kebebasan mahasiswa.
"Sebagai contoh, seksyen 15 melarang mahasiswa untuk terlibat dalam kegiatan politik, namun ia dilonggarkan selepas pindaan tahun 2012 menjadikan mahasiswa hanya boleh berpolitik di luar kampus sahaja.
"Bagaimanapun, mahasiswa yang memihak kepada pembangkang dikekang dari menjalankan aktiviti di luar kampus dan disekat apabila cuba menyampaikan ideanya di dalam kampus, berbeza dengan mahasiswa yang memihak kerajaan yang bebas untuk bersuara dan tidak disekat sebelum ini," jelasnya lagi.
Selain itu, Nazrul yang merupakan mahasiswa jurusan undang-undang memberitahu, sekiranya AUKU dimansuhkan, ia bakal membuka ruang lebih luas kepada anak muda untuk berbincang secara kritis soal dasar dan polisi kerajaan selain mengurangkan pengaruh politik dalam pentadbiran universiti.
AUKU diperkenalkan pada 1971 dan sebahagian peruntukan dalam akta tersebut terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Ia merangkumi penubuhan dan pentadbiran universiti serta kolej universiti awam dan hal yang berkaitan dengannya.
Jadikan universiti pusat percambahan pemikiran masyarakat - Hilman UKM4
Mahasiswa boleh berpolitik, namun jangan sampai dipergunakan - Idris
Tun Mahathir pertahan AUKU 1971
#akta #Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU 1971 #Atiqah Ismail #bahas polisi kerajaan #bekas Majlis Perwakilan Pelajar #jurusan undang-undang #kebebasan bersuara #mahasiswa #Nazrul Nazir #pindaan tertentu #Universiti Sains Islam Malaysia
;