Audit: PPj lakukan pembaziran dengan tidak guna semula kiosk sedia ada
Astro Awani
April 6, 2015 17:00 MYT
April 6, 2015 17:00 MYT
Perbadanan Putrajaya (PPj) didakwa melakukan pembaziran dengan tidak menggunakan semula kiosk sedia ada dan membeli kiosk yang baharu untuk Festival Ramadan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, daripada 30 kiosk bernilai RM481,700 yang dibeli untuk Festival Ramadan 2013, sebanyak 26 kiosk bernilai RM423,700 tidak digunakan semula oleh PPj untuk Festival Ramadan 2014.
Sebaliknya, PPj telah menyewa 76 kiosk berjumlah RM345,760 untuk Festival Ramadan 2014.
“Tiada perancangan teliti yang dibuat oleh PPj untuk menentukan kiosk patut dibeli atau disewa
menyebabkan berlakunya pembaziran kerana kiosk sedia ada tidak digunakan semula,” kata laporan itu.
Di dalam maklum balas daripada PPj pada 29 Disember lepas, apabila kiosk tersebut hendak diguna semula, didapati terdapat kerosakan pada kiosk disebabkan oleh kelemahan reka bentuk yang memerlukan kos pengubahsuaian yang agak tinggi dan tempoh masa yang lama untuk memasang semula.
Ia berkata, pada masa sama, terdapat permintaan untuk menambah bilangan ruang niaga daripada 30 ke 76 lot.
“Sehubungan dengan itu, PPj memutuskan untuk menyewa kiosk bagi Festival Ramadan 2014.
“Bagaimanapun, kiosk yang digunakan pada Festival Ramadan 2013, akan digunakan semula dengan sedikit pengubahsuaian di tempat-tempat yang dikenal pasti seperti di taman-taman awam.
“Sebanyak 12 kiosk telah siap dipasang dan baki 18 kiosk akan dipasang lagi secara berperingkat,” katanya.