Audit penerima dana USAID, pastikan tiada campur tangan asing - Sivaraj
Astro Awani
Mac 6, 2025 20:28 MYT
Mac 6, 2025 20:28 MYT
Sivaraj mahu kerajaan membuat audit menyeluruh ke atas penerima dana tersebut bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan sebarang ancaman kepada kedaulatan negara. - Foto Komunikasi Korporat Parlimen
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memastikan tiada campur tangan asing dalam urusan politik dan pentadbiran negara menerusi bantuan dana yang disalurkan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran mahu kerajaan membuat audit menyeluruh ke atas penerima dana tersebut bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan sebarang ancaman kepada kedaulatan negara.
"Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui sama ada terdapat unsur-unsur luar yang cuba mencorakkan masa depan negara ini mengikut kepentingan mereka.
"Oleh itu, saya menggesa pihak kerajaan untuk bertindak tegas dalam memastikan ketelusan dan kedaulatan negara tidak dikompromi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, di sini.
Sivaraj menegaskan, Malaysia tidak boleh bersifat naif memandangkan sejarah terbukti dana seperti itu sering digunakan untuk melemahkan kerajaan yang tidak selari dengan kepentingan kuasa besar, memanipulasi pengundi, serta menggugat kestabilan negara.
"Kita pernah melihat bagaimana negara-negara lain menjadi mangsa permainan politik ini dan saya tidak mahu Malaysia mengalami nasib yang sama," tambahnya.
Pada Januari lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan membekukan sementara dana USAID sementara menunggu semakan dalaman, sekali gus memberi kesan kepada pelbagai inisiatif di seluruh dunia.
USAID merupakan antara agensi bantuan terbesar di dunia, menggaji kira-kira 10,000 orang dengan dua pertiga dairpadanya berkhidmat di luar AS.
Dana USAID sering ditonjolkan kononnya untuk membantu membangunkan demokrasi dan memperkukuh masyarakat sivil di seluruh dunia.