Audit: Kerajaan Melaka akan tambah baik bekalan air
Bernama
Disember 4, 2018 05:31 MYT
Disember 4, 2018 05:31 MYT
Kerajaan Negeri Melaka akan melakukan penilaian dan penambahbaikan melalui Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) negeri berhubung Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang didapati melakukan pelanggaran parameter fluorida tertinggi dalam memproses air terawat bagi tahun 2015 hingga 2017.
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata PAC negeri yang dipengerusikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Rim, Datuk Ghazale Muhamad dan diwakili oleh pihak kerajaan negeri dan pembangkang itu, akan mendapatkan Laporan Ketua Audit Negara sebelum membincangkannya.
"Saya rasa ini adalah satu masa yang paling tepat untuk menilai kembali kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam laporan audit itu dan mana-mana cara untuk kita perbaiki," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan penghargaan kepada 99 pesara kerajaan negeri, di Banda Hilir di sini pada Selasa.
Majlis Penghargaan Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Melaka itu turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Omar Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Roslan Ibrahim.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, pada tahun 2017, Loji Air Bertam menunjukkan jumlah pelanggaran parameter fluorida tertinggi iaitu sebanyak 326 pelanggaran berbanding 90 pelanggaran pada tahun 2016 dan 11 pelanggaran pada tahun 2015.
Ini diikuti dengan Loji Air Asahan sebanyak 282 pelanggaran dan Loji Air Jus sebanyak 137 pelanggaran.
Mengulas mengenai majlis persaraan itu, Adly berkata kerajaan negeri amat menghargai sumbangan dan khidmat bakti para pesara dalam apa jua aspirasi kerajaan dan prihatin dengan keluhan dan suara mereka.
Sementara itu, Adly berkata beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar hari ini antara lain membincangkan hala tuju negeri ini terutama dalam aspek-aspek pembangunan, pentadbiran dan pelancongan.
"Antara yang kita bincangkan adalah mengenai 'Pelabuhan Kuala Linggi ', Melaka Gateway dan juga Melaka sebagai negeri pelancongan yang mana kita meminta 'bimbingan' daripada Tun (Dr Mahathir) atas pengalaman dan pandangan beliau untuk terus maju ke hadapan," katanya.
-- BERNAMA
#Adly Zahari
#Jawatankuasa Kira-kira Wang
#kerajaan
#Ketua Menteri Melaka
#Laporan Ketua Audit Negara
#menteri
#PAC
#pelancongan
#pembangkang
#Perdana Menteri
#SAMB
#Syarikat Air Melaka Berhad