Audit gagal buktikan NFC beli hartanah guna pinjaman
Astro Awani
Mac 19, 2021 12:42 MYT
Mac 19, 2021 12:42 MYT
KUALA LUMPUR : Laporan penilaian audit ke atas National Feedlot Corp Sdn Bhd (NFCorp) oleh firma yang dilantik oleh pihak kerajaan, Price Waterhouse Malaysia (PwC) telah gagal dalam membuktikan sumber dana firma ternakan lembu itu untuk pembelian hartanah adalah dari sumber wang pinjaman kerajaan tersebut.
Dalam kenyataannya, peguam Datuk K. Kirubakaran yang mewakili NFCorp dan 10 yang lain berkata, pada masa yang sama, keterangan saksi juga mengesahkan sebenarnya PwC dalam laporan penilaian audit gagal menunjukkan kaitan langsung antara wang pinjaman dari kerajaan dengan wang pembelian hartanah.
Wang tersebut didakwa digunakan oleh NFCorp untuk kepentingan peribadi dan keluarga Pengerusi National Feedlot Corp (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan bukannya untuk kepentingan dan urusan perniagaan NFCorp.
"Laporan audit ke atas NFCorp itu juga gagal mengambil kira klausa-klausa penting dalam perjanjian pelaksanaan mengenai Program Pembangunan Usahawan (EDP) dan obligasi Kerajaan Malaysia untuk penyediaan dan penyempurnaan EQA.
"PwC dalam penyediaan laporan penilaian audit tersebut telah gagal meneliti pelan produksi yang dinyatakan dalam Jadual 9 Perjanjian Pelaksanaan adalah sebenarnya bergantung kepada Program EDP yang hanya akan dilaksanakan apabila EQA disiap sedia oleh pihak kerajaan," kata peguam tersebut.
NFCorp kini berdepan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan tindakan kerajaan untuk mendapatkan perakuan dari pihak mahkamah bagi mendapatkan semula pinjaman RM250 juta oleh Kementerian Kewangan bagi menjayakan projek ternakan lembu oleh NFCorp.
Mengulas lanjut, Kirubakaran menambah, bagi dakwaan penyalahgunaan wang pinjaman yang dinyatakan dalam laporan penilaian auditnya, PwC tidak mendalami dan memeriksa akaun, invois dan dokumen-dokumen lain NFCorp secara teliti.
Justeru, katanya lagi, adalah tidak tepat dalam menyatakan NFCorp telah secara salah menggunakan wang pinjaman tersebut untuk kepentingan peribadi dan keluarga Salleh.
Ini disokong oleh keterangan yang diberikan oleh pengarah PwC Malaysia, Lim San Peen.
Semasa Lim disoal oleh peguam defendan-defendan, Lim telah memberi keterangan bahawa dia hanya membuat dan menyediakan Laporan penilaian audit tersebut berdasarkan dokumen-dokumen yang dibekalkan oleh pihak kerajaan dan beliau tidak meneliti dokumen-dokumen seperti invois NFCorp secara mendalam.
Andrew Heng, dari firma Ferrier Hodgson MH (FHMH) turut memberi keterangan bahawa NFCorp, memperolehi nilai pusingan perniagaan yang tinggi dan telah menjana keuntungan pada masa yang material selain daripada jumlah pinjaman yang dikeluarkan dari Akaun Pinjaman Khas (SLA), ujarnya.
Andrew turut menjelaskan bahawa laporan penilaian audit oleh PwC itu adalah tidak menyeluruh, komprehensif dan selamat untuk dijadikan sandaran dalam penilaian kerajaan dan mahkamah, katanya.
Heng menjelaskan bahawa NFCorp telah menyerahkan SOP kepada Jabatan Verterina untuk EDP malah tiada apa-apa maklum balas yang diberikan oleh pihak Kerajaan.
"Pada masa yang sama, Andrew Heng memberi keterangan bahawa penilaiannya mendapati NFC tidak dapat mencapai sasaran operasi kerana kerajaan tidak membina EQA seperti mana yang diperlukan," jelasnya.
Dan selanjutnya, kerajaan menamatkan projek tersebut pada tahun 2009 yang sepatutnya bernilai RM95 juta jika terus berjalan seperti dirancang, tambahnya.
FHMH adalah firma audit yang dilantik oleh pihak NFCorp untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian ke atas laporan audit yang dibuat PwC.