Atur strategi kurangkan kerosakan bebuli vaksin - Pakar perubatan

Astro Awani
Mac 11, 2021 14:14 MYT
Malaysia bakal terima enam jenis vaksin lagi yang menggunakan teknologi konvensional dan tidak memerlukan keperluan rantaian sejuk yang begitu tinggi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan harus mengatur strategi terperinci untuk menangani isu kurangkan kerosakan pada bebuli vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, cabaran besar akan dilihat pada fasa kedua dan ketiga selain melibatkan tindakan nasional dan di peringkat operasi.
Ujarnya, negara tidak harus bergantung kepada satu atau dua vaksin sahaja yang memerlukan rantaian penyimpanan ultra sejuk yang sukar dijalankan.
"Di peringkat nasional, apabila kita melakukan pesanan, kita tidak seharusnya memesan hanya satu syarikat sahaja dan kita harus membuka peluang kepada syarikat yang menyediakan vaksin yang lebih stabil.
"Misalnya kita ada enam jenis vaksin lagi yang menggunakan teknologi konvensional dan tidak memerlukan keperluan rantaian sejuk yang begitu tinggi, misalnya ia menggunakan rantaian sejuk peti sejuk biasa.
"Ini lebih stabil dan di peringkat nasional, kita tidak perlu atau berhati-hati dan terikat dengan satu syarikat dan memesan dengan dos yang begitu banyak," katanya semasa sidang video pada Khamis.
Vaksin COVID-19 | Memahami masalah vaksin rosak
BACA: 585 bebuli vaksin rosak dipulangkan, Pfizer-BioNTech ganti semula - Khairy
BACA: 223,923 terima suntikan pertama vaksin COVID-19
Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 585 bebuli vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech yang diterima Malaysia sebelum ini dipulangkan semula, kerana didapati rosak akibat suhu penyimpanan vaksin itu berubah.
Bagaimanapun jelasnya, jumlah yang dipulangkan adalah sedikit berbanding lebih 500,000 dos vaksin yang diterima sebelum ini.
Fasa pertama bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos, bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya.
Sementara fasa ketiga, bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun depan.
#COVID-19 #vaksin #operasi #PICK #warga emas #Pfizer-BioNTech
;