Atur perlawanan: Tiga lelaki bebas dengan jaminan SPRM

Astro Awani
Februari 21, 2018 12:14 MYT
Ketiga-tiga lelaki itu sebelum ini direman enam hari bermula 15 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009. Astro AWANI
Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan dua pemain Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan seorang lelaki dipercayai 'bookie' yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan Liga Premier.
Perintah pembebasan itu dikeluarkan Majistret Sandy Yvette Freddy dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketiga-tiga lelaki itu yang berumur lingkungan 28 hingga 34 tahun sebelum ini direman enam hari bermula 15 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 kerana dipercayai terlibat mengaturkan perlawanan antara Sarawak menentang Felcra FC pada 10 Feb.
Hasil siasatan SPRM sepanjang enam hari tempoh reman terhadap ketiga-tiga suspek mendapati, tiada bukti yang kukuh untuk menuduh mereka terlibat.
Ketiga-tiga mereka diwakili masing-masing oleh peguam Ahmad Dzulfadli Abang Hamdan, Saifunnizam Sam dan Irawan Sudarsono manakala SPRM diwakili Pegawai Penyiasat SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais pernah mendedahkan bahawa terdapat beberapa dalang yang disyaki menjadi punca kekalahan pasukan itu pada perlawanan tersebut.
Keputusan perlawanan itu pada mulanya memihak kepada Sarawak dengan jaringan 2-0, sehingga pada minit ke-85 pasukan lawan berjaya menjaringkan gol, sekali gus menghasilkan kemenangan sehingga mendahului 3-2.
Susulan kekalahan tersebut, Posa mengarahkan pengurus pasukan Kol (PA) Wahab Abdul Rahim melancarkan siasatan terhadap pasukannya serta turut memohon SPRM membantu menangani kes ini.
#atur perlawanan #bola sepak #bookie #Kuching #mahkamah #Mahkamah Majistret #Rasuah #Sarawak #SPRM
;