'Atuk' ditahan laku amang seksual kanak-kanak kembar diasuh isteri

Sinar Harian
Oktober 31, 2021 06:00 MYT
Lelaki berusia 70 tahun itu melakukan perbuatan terkutuk tersebut ketika kanak-kanak berkenaan sedang mandi di rumahnya pada Khamis. -Gambar hiasan
PETALING JAYA: Polis menahan seorang warga emas kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap pasangan kembar kanak-kanak perempuan yang diasuh isterinya di kediaman mereka di sini.
Difahamkan, lelaki berusia 70 tahun yang dipanggil 'atuk' oleh pasangan kembar berusia tujuh tahun itu melakukan perbuatan terkutuk tersebut ketika kanak-kanak berkenaan sedang mandi di rumahnya pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perbuatan itu terbongkar apabila abang kepada kembar berkenaan terlihat insiden tersebut lalu menceritakan kepada bapa mereka dan membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat (abang mangsa) dan laporan polis yang dibuat bapa mangsa, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menahan suspek di rumahnya," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Mohamad Fakhrudin berkata, isteri suspek dipercayai tidak mengetahui berkenaan perbuatan terkutuk yang didakwa dilakukan oleh suaminya itu.
“Suspek merupakan suami kepada pengasuh dan keterangan wanita berusia 61 tahun tersebut juga telah diambil polis bagi membantu siasatan.
“Wanita berkenaan mendakwa tidak mengetahui perbuatan keji yang dilakukan suaminya dan mengakui bersama-sama suaminya mengasuh kanak-kanak kembar perempuan itu,” katanya.
Jelas beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
*Berita asal di Sinar Harian
#amang seksual #warga emas #atuk #pasangan kembar kanak-kanak perempuan
;