ATSB kongsi maklumat teknikal pencarian pesawat MH370
Astro Awani
Oktober 24, 2014 19:32 MYT
Oktober 24, 2014 19:32 MYT
Sebuah taklimat media khas dan pembentangan data teknikal mengenai perkembangan misi pencarian pesawat MH370 telah dijalankan hari ini di Putrajaya.
Bertempat di Jabatan Penerbangan Awam (DCA), taklimat tersebut adalah susulan daripada perjumpaan delegasi Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dengan pakar-pakar antarabangsa serta wakil kerajaan Malaysia.
Jurucakap ATSB, Peter Foley, yang berkongsi maklumat tentang peralatan yang digunakan dalam misi pencarian itu memberitahu kapal GO Phoenix dan juga Fugro dilengkapi teknologi ProSAS iaitu sistem pengimbas sonar canggih.
Alat tersebut memiliki keupayaan melakukan pencarian sehingga ke kedalaman sehingga 6,000 meter dengan cakupan jarak imbasan selebar 1.5 kilometer. Dalam masa yang sama, ia merakamkan gambar beresolusi tinggi.
Tambah Foley, antara objektif misi pencarian itu kini adalah untuk mengesan pesawat MH370 di dasar laut zon pencarian yang telah dikenal pasti.
Apabila berjaya mengenal pasti kawasan serpihan (debris field), operasi pencarian ini akan memeta zon tersebut dalam usaha mendapatkan perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara.
Menjawab pertanyaan media tentang kemungkinan hasil pencarian itu, Foley memberitahu, sistem tersebut boleh mengesan perakam data penerbangan dalam masa beberapa hari sahaja namun cabaran yang dihadapi adalah keluasan Lautan Hindi itu sendiri.
Walaupun prosedur pemetaan dasar laut melalui teknologi imbasan sonar itu berjalan dengan baik, operasi tersebut memperoleh data yang terhad disebabkan faktor keluasan zon pencarian.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac lalu setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam.
Ia sepatutnya tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama.
Usaha mencari pesawat itu masih diteruskan, namun buat masa ini tiada sebarang penemuan dilaporkan.