ATM wajar kaji penglibatan Askar Wataniah dalam operasi teras - Raja Muda Perlis

Bernama
Mac 15, 2024 15:30 MYT
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Askar Wataniah yang dilatih dan terlibat dalam pelbagai eksesais tempatan dan bilateral bersama anggota tetap mampu melaksanakan tugas dan peranan seperti anggota tetap. - Gambar fail/Bernama
KANGAR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Majlis Angkatan Tentera wajar mengkaji dan meneliti semula segala seksyen sedia ada bagi membolehkan penglibatan pasukan simpanan tentera darat dalam operasi teras bersama anggota tetap bagi mengawal sempadan negara.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Askar Wataniah yang dilatih dan terlibat dalam pelbagai eksesais tempatan dan bilateral bersama anggota tetap mampu melaksanakan tugas dan peranan seperti anggota tetap.
"Saban tahun negara melahirkan ribuan anggota simpanan dalam Angkatan Tentera Darat, namun sejauh mana penglibatan mereka dibenarkan dalam membantu sebagai pasukan benteng pertahanan kedua negara," titah baginda.
Baginda bertitah demikian menerusi kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis hari ini selepas berkenan berangkat mengetuai lawatan Program Eksesais Kerajaan Perlis ke Sabah (Eks PERBAH) 2024 di perairan Sektor Selatan Timur Laut Sabah semalam.
Eks PERBAH yang merupakan program tahunan anjuran kerajaan Perlis bersama Rejimen 504 Askar Wataniah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta YTSP mendapat kerjasama padu ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelbagai agensi negeri dan Persekutuan dari Perlis dan Sabah selain pihak swasta.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah menjadi satu kerugian buat negara sekiranya hanya melatih pasukan simpanan tanpa ada sebarang perancangan jangka panjang untuk mengatur gerak mereka membantu mengawal sempadan negara.
Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Kem Bukit Keteri di sini turut menyarankan keperluan penglibatan Askar Wataniah dalam situasi darurat negara perlu dikaji semula dari semasa ke semasa selain kepelbagaian bentuk latihan bersesuaian dengan jenis atur gerak yang dirancang.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #ATM #Raja Muda Perlis #Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #operasi teras
;