ATM terima sumbangan aset, pertingkat kawalan sempadan Sarawak

Astro Awani
Disember 11, 2021 18:31 MYT
Abang Johari berkata, sumbangan itu sebagai tanda menghargai pengorbanan pasukan keselamatan itu dalam menjaga kedaulatan sempadan negeri.
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak hari ini menyumbangkan sejumlah asset kawalan pertahanan sempadan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) negeri itu.
Ketua Menterinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda menghargai pengorbanan pasukan keselamatan itu dalam menjaga kedaulatan sempadan negeri.
“Penyerahan aset kawalan pertahanan sempadan ini diharapkan akan membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan memperkasakan kawalan sempadan Sarawak.
“Selain itu, kerajaan negeri juga dengan sukacitanya menyumbang peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berupa 20 buah komputer yang dilengkapi dengan kemudahan internet.
“Kemudahan ini akan diletakkan di 'Innovation & Digital Centre (IDC)’, Kem Muara Tuang.
“Dengan adanya kemudahan ini diharapkan agar dapat membantu saudara saudari dan juga keluarga dalam memperkasakan pendidikan saudara saudari serta keluarga selaras dengan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan warga tentera di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, di sini pada Sabtu.
Hadir sama Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; dan Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa.
Mengulas lanjut, Abang Johari sumbangan itu juga dapat membantu ATM dalam usaha mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI), termasuk aktiviti rentas sempadan.
"Saya akui bukan mudah untuk melaksanakan tugas-tugas menjaga keselamatan negeri ini oleh kerana faktor keluasan dan juga bentuk muka bumi yang agak mencabar.
"Namun begitu, saya percaya saudara dan saudari dapat memikul tanggungjawab ini dengan sangat baik melalui kejayaan dari pelbagai aspek seperti kawalan sempadan diantara Negeri Sarawak dengan negara jiran kita Indonesia dan Brunei," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Abang Johari mengingatkan agar semua anggota tentera sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri berikutan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana Sarawak sebuah negeri yang aman, selian rakyatnya yang sentiasa berusaha untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan mereka.
“Pihak-pihak yang berkunjung ke Sarawak kagum dengan semangat saling hormat menghormati antara rakyat berbilang kaum dan agamanya di negeri ini.
“Saya percaya ramai juga anggota tentera yang datang dari Semenanjung teruja bila dapat berkhidmat di Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, pakej sumbangan tersebut antaranya meliputi aset-aset telekomunikasi digital dron lengkap dengan Pusat Kawalan Operasi bersama-sama kenderaan Ford Ranger RAPTOR, dengan kos keseluruhan berjumlah RM75 juta.
#Angkatan Tentera Malaysia #PRN Sarawak #Abang Johari #Kawalan sempadan
;