ATM sokong keperluan rawat pesakit kritikal, bantu kurangkan beban KKM - Dr Mohd Arshil

Fareez Azman
Julai 10, 2021 17:05 MYT
ATM sebelum ini dilihat antara agensi yang banyak memberi bantuan dari sudut aset termasuk menyediakan hospital medan dalam menentang COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memberikan sokongan yang diperlukan terutama dalam memenuhi keperluan merawat pesakit COVID-19 yang kritikal.
Untuk itu, Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brigadier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen berkata ATM telah mengerakkan strategi merawat pesakit kritikal tahap tiga ke atas dalam mengurangkan bebanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Saya lebih suka mengambil sudut pendekatan pembinaan dan lebih banyak katil bukan solution terbaik. Maksudnya, kita perlu mengekang penularan wabak melalui aktiviti kesihatan awam yang efisien.
"Apa yang ATM lakukan, ATM sentiasa menyokong keperluan merawat pesakit yang kritikal seperti kita lihat atur gerak fokus pesakit kategori tiga dan ke atas. Baru-baru ini kategori empat ke atas, kita sudah ubah strategi dan aktiviti menyelamatkan nyawa," katanya ketika ditemubual dalam program AWANI Pagi pada Sabtu.
Tambah Dr Mohd Arshil, bebanan yang ditanggung petugas perubatan KKM ketika ini sangat tinggi terutama apabila kes harian terus meningkat.
"Jadi amat penting untuk kita ubah strategi ini kerana apa yang kita lihat sekarang hanya ada satu saluran. Saluran sama juga buat saringan, pengesanan, rawat dan ambil pesakit semua menggunakan saluran yang sama.
"Sama juga rawat pesakit kategori tiga, empat dan lima. Tenaga kerja dan sumber juga terdiri daripada orang sama, jumlah ambulans kumpulan sama," katanya lagi.
Melihat kepada situasi itu, tambah Dr Mohd Arshil, ATM tampil membantu menerusi pembinaan hospital medan di beberapa kawasan.
Beliau turut mencadangkan agar setiap individu yang disahkan positif COVID-19 tahap satu dikuarantin di rumah dan bukannya Pusat Kuarantin Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) terutama di negeri mencatatkan jangkitan harian tinggi.
"Apabila ini berlaku baru-baru ini, kita beri komen keberadaan kategori satu tidak mempunyai simptom dan berisiko rendah yang besar di PKRC.
"Jika di negeri kes terkawal kita boleh dan patut letakkan pesakit kategori satu yang tidak mempunyai apa-apa simptom untuk mengekang penularan, tetapi bagi negeri-negeri yang teruk seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan yang mana terlalu banyak kes.
"Kategori satu dan dua kita biarkan di rumah dibawah pemantauan petugas kesihatan, dan hanya bawa masuk kategori tiga ke atas," katanya lagi.
ATM sebelum ini dilihat antara agensi yang banyak memberi bantuan dari sudut aset termasuk menyediakan hospital medan dalam menentang COVID-19.
#Angkatan Tentera Malaysia #Kuala Lumpur #KKM #Negeri Sembilan #Kementerian Kesihatan #Malaysia #COVID-19 #petugas kesihatan #PKRC #ATM #jangkitan
;