ATM sentiasa siap siaga hadapi ancaman pengganas - Mohamad Sabu
Bernama
Mac 9, 2019 10:00 MYT
Mac 9, 2019 10:00 MYT
Kementerian Pertahanan tidak menolak kemungkinan Malaysia akan berdepan ancaman pengganas dari luar, termasuk kumpulan Daesh, pada masa depan, kata menterinya Mohamad Sabu.
Justeru, katanya, pihaknya telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang ancaman daripada kumpulan pengganas tersebut.
"Sekarang banyak negara Islam sudah menghadapi ancaman ini seperti Iraq, Somalia, Yaman, Libya dan Sudan. Kita harap Malaysia dapat bendung pergerakan kumpulan ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada program 'Bicara Minda Bersama Menteri Pertahanan' anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Kompleks Karangkraf di sini, pada Jumaat.
"Kita tidak akan dapat jangka ancaman dari pengganas ini memandangkan kita tiada maklumat berkaitan penempatan kem latihan mereka.
"Mereka ini boleh berada di mana-mana... mereka tiada pangkalan tetapi boleh menguasai minda dan perkara itu perlu dipantau," kata Mohamad.
Katanya perkara itu akan sentiasa dipantau supaya pihaknya dapat mengesan pergerakan kumpulan berkenaan dari awal bagi mengekang berlaku sebarang ancaman terhadap Malaysia.
Sementara itu, Mohamad berkata Kementerian Pertahanan bercadang untuk menggantikan trak tentera yang digunakan untuk membawa pelajar ke sekolah dengan kenderaan yang lebih sesuai.
Katanya proses penggantian itu akan dibincangkan di peringkat Kabinet selain mengambil kira peruntukan yang diperlukan sebelum perkara tersebut dapat dimuktamadkan.
"Trak-trak tentera ini masih digunakan di beberapa kem tentera di negara ini sebagai pengangkutan untuk anak tentera ke sekolah.
"Sekiranya boleh, kita mahu gantikan dengan kadar segera dengan pengangkutan lain seperti van kerana kita mahu anak-anak ini ke sekolah dengan keadaan lebih selesa dan normal seperti pelajar lain," katanya.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia
#Daesh
#Iraq
#Islam
#kabinet
#kem latihan
#Libya
#Mohamad Sabu
#pangkalan
#pengganas
#tentera
#trak tentera
#van sekolah