ATM sedia dikerah kerja baik pulih pasca banjir Kelantan, Terengganu

Astro Awani
Januari 6, 2017 12:11 MYT
HISHAMMUDDIN: Kawalan di sempadan Kelantan-Thailand dipertingkatkan.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia dikerahkan untuk kerja baik pulih dan pembersihan pasca banjir yang melanda Kelantan dan Terengganu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussen berkata, melalui Program Jiwa Murni, pihaknya bersedia mengerahkan anggota untuk tujuan pembersihan dan juga baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir.
"Di bawah program Jiwa Murni ada kaedah-kaedah tertentu untuk kita bantu bukan sahaja penduduk, malah pos-pos dan kem-kem tentera yang mungkin rosak akibat bencana banjir.
"Bagaimanapun, saya akan melihat keadaan semasa termasuk cuaca sebelum memutuskan langkah seterusnya," katanya.
Bagaimanapun, taksiran kerosakan melibatkan infrastruktur dan kem yang dinaiki air terutama melibatkan pos kawalan sempadan belum boleh dinilai lagi pada masa ini kerana banjir belum pulih sepenuhnya.
Menyentuh mengenai kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand sepanjang banjir melanda, Hishamuddin menjelaskan, kawalan dipertingkatkan biarpun terdapat pos kawalan yang ditenggelami air.
Operasi di sempadan dilaksanakan seperti biasa melibatkan 2 batalion rejimen sempadan.
Sejumlah lebih 2,000 anggota tentera dan aset kenderaan di darat dan air ditugaskan membantu operasi memindah dan menyelamat mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
Hishamuddin berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, di sini hari ini.
#ATM #baik pulih #Hishammuddin Hussein #Kelantan #kesan banjir #tentera #terengganu
;