ATM rampas 930kg daun ketum bernilai lebih RM74,000 di sempadan

Adie Sufian Zulkefli
Julai 19, 2024 21:30 MYT
Anggota ATM menemukan 93 bungkusan daun ketum dianggar bernilai RM74,400 di dalam sebuah kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan dekat sempadan Malaysia-Thailand pada Jumaat. - Foto ATM
PADANG TERAP: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan menyeludup 930 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM74,400 ke Thailand di kawasan sempadan negara di sini, pada Jumaat.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan semalam berkata, daun ketum itu dirampas dalam sebuah pacuan empat roda di kawasan hutan berhampiran sempadan, pada 11.30 pagi.
“Pasukan terserempak dengan Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand.
“Pasukan beroperasi seterusnya cuba untuk menahan kenderaan tersebut.
"Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran anggota ATM, suspek yang berada di dalam kenderaan itu bertindak meninggalkan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran sempadan," katanya.
Hasil siasatan mendapati 93 bungkusan mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan 930kg dianggarkan bernilai RM74,400 berada di dalam kenderaan itu.
Menurut kenyataan itu, kesemua bungkusan dan kenderaan tersebut dengan anggaran nilai keseluruhan RM99,400 diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut.
#seludup #Padang Terap #daun ketum #sempadan Malaysia-Thailand