ATM rampas 700 kg daun ketum cuba diseludup ke Thailand

Afiezy Azaman
Jun 23, 2024 09:30 MYT
Sebanyak 700 kilogram (kg) daun ketum bernilai lebih RM56,000 dirampas ketika cuba diseludup ke Thailand, pada Sabtu.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 700 kilogram (kg) daun ketum bernilai lebih RM56,000 dirampas ketika cuba diseludup ke Thailand, pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata, rampasan itu dibuat di sempadan negara di Padang Terap.
Katanya, daun ketum itu dirampas dalam pacuan empat roda di kawasan hutan sempadan sektor OP Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia pada jam 6.30 pagi.
"Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan Pos Pemerhati dan Pendengaran telah menemui sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.
"Hasil siasatan mendapati 70 bungkusan mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan sebanyak 700 kg dengan anggaran nilai sebanyak RM56,000 berada di dalam kenderaan tersebut," katanya.
Menurut kenyataan itu, kesemua bungkusan dan kenderaan terbabit dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM81,000 diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.
"Pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara dan akan terus memastikan keselamatan sempadan terpelihara," katanya.
#daun ketum #rampasan daun ketum #Infantri Malaysia #Op Benteng
;