ATM, PDRM akan sertai semula sambutan Hari Kebangsaan di Pulau Pinang

Astro Awani
Ogos 24, 2015 13:19 MYT
KHALID: Pihaknya hanya akan menyertai sambutan itu sekiranya kerajaan negeri itu menggunakan tema Hari Kebangsaan 2015 iaitu 'Sehati Sejiwa'. - Gambar Fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyertai semula aktiviti sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri Pulau Pinang yang akan disambut minggu depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri Pulau Pinang menarik balik tema sambutan kemerdekaan peringkat negeri iaitu 'Bersih, Cekap, Amanah' pagi Isnin.
"Ya, polis akan sertai (perbarisan Hari Kebangsaan di Pulau Pinang)," katanya ketika ditemui Astro AWANI, Isnin.
Menurut Khalid, pihaknya hanya akan menyertai sambutan itu sekiranya kerajaan negeri itu menggunakan tema Hari Kebangsaan 2015 iaitu 'Sehati Sejiwa'.
Sementara itu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin turut mengesahkan ATM akan menyertai sambutan berkenaan.
"ATM akan sertai perarakan itu setelah kerajaan negeri menarik balik temanya," katanya.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, penyelarasan tema sambutan peringkat negeri dan kebangsaan itu dibuat seiring dengan semangat Hari Kemerdekaan dan bagi menjaga kewibawaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.
Katanya, dengan penarikan tema itu, tidak timbul lagi masalah untuk agensi persekutuan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri.
#Angkatan Tentera Malaysia #Hari Kebangsaan 2015 #Lim Guan Eng #Polis Diraja Malaysia #pulau pinang