ATM pantau situasi, keselamatan anggota di Congo

Bernama
Februari 7, 2025 13:45 MYT
Markas Angkatan Bersama memaklumkan konflik yang tercetus, berpunca daripada eksploitasi sumber mineral, ketegangan etnik, kelemahan kerajaan serta campur tangan pihak luar.
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Markas Angkatan Bersama akan terus memantau situasi dan mengambil langkah sewajarnya, bagi memastikan keselamatan anggotanya di Republik Demokratik Congo (DRC) berikutan konflik yang melanda di negara itu.
Menurut kenyataan Markas Angkatan Bersama, kesemua lapan orang terdiri daripada Pegawai Staf Tentera (PST) dan Pegawai Pemerhati Tentera (PPT) yang bertugas di Misi Stabilisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO), kini berada dalam keadaan selamat.
"Mereka ditempatkan di Force HQ (FHQ) MONUSCO, Lava Site di Goma, serta di Team Site dengan semua PST dan PPT Malaysia berada dalam keadaan selamat dan sihat dengan situasi keseluruhan yang terkawal.
"Pemberontak M23 telah menguasai sepenuhnya Bandar Goma, termasuk Lapangan Terbang Goma yang menempatkan Force FHQ MONUSCO, mencetuskan ancaman kepada keselamatan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan protes ganas di Kinshasa," menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan Markas Angkatan Bersama memaklumkan konflik yang tercetus, berpunca daripada eksploitasi sumber mineral, ketegangan etnik, kelemahan kerajaan serta campur tangan pihak luar.
"Pemberontak M23 mendakwa perjuangan mereka berasaskan kepentingan politik dan keselamatan etnik Tutsi, dengan penglibatan Rwanda yang menambah ketegangan.
"Sejak 2 Feb lepas, keadaan sedikit tenang dan M23 mengisytiharkan genjatan senjata secara unilateral pada 4 Feb lepas atas faktor kemanusiaan," katanya.
Menurut kenyataan itu berdasarkan situasi itu, PBB dan masyarakat antarabangsa perlu menilai semula strategi terhadap MONUSCO serta meningkatkan usaha diplomasi bagi mencapai penyelesaian yang berkekalan.
MONUSCO ditubuhkan pada 1 Julai 2010, menggantikan Misi PBB di Congo (MONUC) yang beroperasi sejak 1999, bertujuan menstabilkan keadaan di DRC selepas konflik berpanjangan, melindungi orang awam, menyokong proses politik serta membantu pembinaan semula negara.
Dengan mandat yang lebih kukuh, MONUSCO dilengkapi pasukan intervensi khas untuk menangani kumpulan bersenjata dengan pertukaran pegawai dan anggota adalah mengikut perjawatan dalam tempoh masa setahun.
-- BERNAMA
#Congo #ATM #Malaysia #pasukan pengaman
;