ATM henti usaha cari tentera yang hilang
Bernama
Julai 29, 2019 14:17 MYT
Julai 29, 2019 14:17 MYT
Usaha mencari dua anggota tentera darat dari Sarawak yang hilang ketika bertugas di Pulau Perak, Kedah pada 19 Julai lepas sudah dihentikan cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Mohammad Sabu berkata, usaha mencari dua anggota tentera darat terbabit dilaksanakan cabang ATM iaitu tentera darat, tentera laut dan tentera udara tetapi gagal menemui kedua-dua mangsa dan dihentikan 26 Julai lalu.
"Buat masa ini (usaha mencari dua anggota tentera terbabit) dihentikan (ATM) sehinggalah kalau ada tanda-tanda baharu, akan usahakan (kembali pencarian mereka)," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Peningkatan Dan Ubah Suai Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Dan Poliklinik Kem Penrinssen, di sini, hari ini.
Mohammad Sabu mengulas mengenai kehilangan Kpl David Edmund Rapi, 39, berasal dari Dalat dan L/Kpl Moses Logers, 25, dari Bau ketika keduanya bertugas di kawasan Operasi Op Pejarak di Pulau Perak.
Sementara itu mengenai lawatan terbabit, beliau berpuas hati dengan projek peningkatan dan ubah suai RKAT yang sebahagian RM50 juta diperuntukkan kerajaan tahun ini bagi membaik pulih rumah kediaman di kem tentera seluruh negara.
"Saya tidaklah 100 peratus berpuas hati tapi rasa ada tindakan yang berlaku termasuk panglima dan pegawai (tentera darat) di sini yang berusaha begitu bersungguh-sungguh untuk menyiapkan projek," katanya.
Katanya, projek mengubah suai dua unit blok RKAT Kelas G menjadi satu unit yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keseluruhannya 48 unit melibatkan dua blok RKAT Kelas G akan diubah suai menjadi 24 unit RKAT dan projek telah bermula sejak enam bulan lepas.
Beliau juga berharap Kementerian Kewangan melihat permohonan pihaknya untuk menambah peruntukan bagi program membaik pulih rumah kediaman tentera yang usang terutama di kem tentera darat berikutan kebanyakan kem terbabit sudah wujud sejak tahun 50-an dan 60-an lagi.
Di samping itu, beliau turut melawat kemajuan Projek Poliklinik di Kem Penrinssen yang juga di bawah Kementerian Pertahanan dan telah bermula sejak 27 Nov 2017 dan dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan.
"Saya melihat keadaan (poliklinik) ini macam hospital dan akan digunakan semua anggota pasukan tentera termasuk veteran tentera yang ada sekitar Kuching. Saya berharap kontraktornya dapat menyiapkan (projek) mengikut jadual,"katanya.
Turut sama pada lawatan itu ialah Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu. - BERNAMA
BACA: Operasi mencari dua anggota tentera diperhebat