ATM bela nasib veteran jadi mangsa banjir - Adly
Bernama
Mac 11, 2023 17:06 MYT
Mac 11, 2023 17:06 MYT
ALOR GAJAH: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus membela nasib warga veterannya yang terjejas dengan banjir di beberapa negeri ketika ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata pihaknya akan berhubung dengan Perbadanan Perwira Niaga (Pernama) di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk mengenal pasti jumlah sebenar veteran yang terkesan dengan bencana tersebut.
"Ada beberapa skim ditawarkan (di bawah Pernama) untuk veteran tentera, contohnya pembaikan rumah dan gantian barangan kelengkapan rumah terutama barangan elektrik.
"Pernama akan memberi peruntukan dan kita akan menyalurkan bantuan tersebut menerusi persatuan veteran," katanya kepada pemberita selepas program tanggungjawab sosial korporat Kembali ke Sekolah Tanjung Ratna Sdn Bhd di Freeport A'Famosa Outlet, Pulau Sebang di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tanjung Ratna Sdn Bhd Allan Chee dan Pengarah Urusan A'Famosa Resort Datuk Alex Lau.
Pada program itu, seramai 200 murid Tahun Satu daripada Parlimen Alor Gajah menerima sumbangan persekolahan seperti beg sekolah, kasut, stokin dan alat tulis.
Setakat 2 petang ini, 44,779 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor, Pahang dan Melaka sejak bencana itu mula melanda pada 1 Mac lepas.
-- BERNAMA