ATM bantu bersih sekolah terjejas banjir
Bernama
Disember 30, 2023 23:23 MYT
Disember 30, 2023 23:23 MYT
DUNGUN: Berbaki dua hari sebelum sesi persekolahan bermula, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini tampil membantu membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pasir Raja di sini yang terjejas banjir.
Berbekalkan kekuatan 33 anggota daripada kompeni C Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (PARA), operasi pembersihan berkenaan dimulakan sejak awal pagi tadi hingga petang ini bagi memastikan 53 murid dapat belajar dengan selesa pada Selasa ini.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kampung Pasir Raja Shahdan Musa berkata pihaknya bersyukur kerana anggota ATM sudi menghulurkan bantuan kerana kerja-kerja pembersihan sekolah yang mempunyai tiga blok itu agak sukar dilakukan tanpa bantuan daripada pihak luar.
"Banjir di kampung kami bermula pada 23 Dis lepas. Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dibuka pada 24 Dis dan telah ditutup semalam, namun tak sampai tiga jam ditutup pada 5 petang air sungai naik kembali dan penduduk kembali ke PPS sehingga sekarang.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota tentera kerana menyumbangkan tenaga melakukan kerja pembersihan di sekolah ini," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Tengku Noor Suriati Tengku Abdul Rahman, 39, yang mempunyai dua anak bersekolah di situ berharap pihak berkaitan boleh memberikan sedikit kelonggaran seperti menangguhkan sesi persekolahan terlebih dahulu kerana bimbang kejadian banjir berulang dan banyak kelengkapan persekolahan anak-anaknya musnah dihanyutkan banjir.
"Saya masih rasa susah hati sebab kita tak tahu takut-takut air naik lagi dengan laluan nanti boleh terkepung, jadi mungkin pihak berkaitan atau kerajaan boleh fikirkan sesuatu untuk membantu anak-anak ini memulakan sekolah dalam keadaan selesa," katanya.
PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang dibuka semula secara pentadbiran selepas ditutup semalam menempatkan 66 orang daripada 24 keluarga.
-- BERNAMA