Atlet paralimpik AS rasa dihina selepas kelab hiburan KL rampas tongkatnya

Kohilah Sekaran
April 14, 2016 21:09 MYT
Penceramah motivasi dan ahli Pasukan Bola Sepak Paralimpik Amerika Syarikat, Josh Sundquist berkongsi pengalaman buruknya ketika berada di sebuah kelab di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Penceramah motivasi dan ahli Pasukan Bola Sepak Paralimpik Amerika Syarikat (AS), Josh Sundquist berkongsi pengalaman buruknya ketika berada di sebuah kelab hiburan di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Penulis popular yang kehilangan kaki kirinya akibat tumor pada usia sembilan tahun itu memuat naik sebuah video yang sedih di laman YouTube berhubung pengalaman buruk yang dialaminya.
Menurut Sundquist, beliau bersama isterinya, Ashley, dan penceramah yang lain telah berkunjung ke sebuah kelab malam.
Bagaimanapun, keadaan menjadi buruk apabila dua pengawal keselamatan merampas tongkatnya ketika beliau sedang menari bersama isterinya.
"Saya berdiri di atas pentas di tengah-tengah kelab itu. Ia adalah satu perkara yang menakutkan untuk berdiri di atas platform dengan satu kaki, dengan bantuan tongkat.
"Saya menarik Ashley dan kami sedang menari, melakukan beberapa putaran. Tetamu yang berada di kelab itu mula bersorak. Mereka teruja untuk berjumpa saya, seorang yang kurang upaya sedang menari di hadapan orang ramai," ujarnya.
Beliau mendakwa dua pengawal keselamatan kemudian tiba-tiba menghampiri dan merampas tongkatnya.
Tidak boleh bergerak
"Bagi orang kurang upaya, tanpa tongkat bermakna saya menjadi kaku. Saya tidak boleh bergerak. Saya tidak boleh berjalan.
"Ia agak melucukan kerana saya seorang penceramah motivasi, penekanan dalam ucapan saya adalah, 'Saya ada satu kaki’, ‘Saya sudah biasa dengan anggota badan saya’, ‘saya sudah menerimanya', tetapi dua belas jam kemudian di kelab itu saya mendapati bahawa kesakitan dan penghinaan itu masih wujud.”
Penceramah berusia 31 tahun itu berkata beliau tidak tahu mengapa pengawal keselamatan itu mengambil tongkatnya.
“Mereka tidak memberi sebarang penjelasan. Sebaik sahaja saya turun dan mendapatkan kembali tongkat saya, kami keluar dari kelab tersebut.
"Semua orang yang saya temui di Malaysia adalah orang yang baik kecuali dua pengawal keselamatan kelab itu. Ia tetap satu penghormatan bagi saya untuk melawat negara ini," Sundquist akhiri video itu.
Setakat ini, video itu ditontoni lebih dari 40,000 kali, dan sekali gus menjadi viral di media sosial.
Netizen melahirkan rasa simpati kepada penceramah itu atas apa yang berlaku padanya.
Seorang pengguna YouTube, Marcus Chan berkata: “Saya kesal dengan apa yang berlaku kepada anda. Saya akan menghantar video ini kepada pihak pengurusan kelab itu."
Sundquist, tiba di Malaysia pada Sabtu lalu, untuk menyampaikan satu ceramah motivasi kepada golongan belia mengenai kesukarelawanan di bawah program 1Malaysia For Youth (iM4U).
#Amerika Syarikat #Josh Sundquist #Paralimpik #zouk
;