Atlet luncur air raikan pembukaan Sukan Olimpik Paris di Tahiti
Bernama
Julai 27, 2024 11:40 MYT
Julai 27, 2024 11:40 MYT
TAHITI: Peserta Sukan Olimpik Paris di Tahiti, Polinesia Perancis, iaitu lokasi penganjuran bagi acara luncur air, meraikan pembukaan Sukan itu di sini pada Jumaat.
Atlet, pegawai, peminat dan penduduk tempatan berkumpul untuk upacara budaya yang diadakan serentak dengan acara utama di Paris, yang jaraknya kira-kira 16,000 kilometer.
Seramai 48 peserta luncur air berarak membawa bendera kebangsaan masing-masing diikuti dengan upacara "Sands of the World," apabila para peserta luncur air menuangkan pasir dari tanah air mereka sebagai simbol perpaduan, lapor Xinhua.
Turut dipamerkan adalah perayaan tradisional Tahiti Rahiri, mewakili permainan adil dan saling menghormati antara atlet.
"Ini masanya untuk bersinar," kata Fernando Aguerre, presiden Persatuan Luncur Air Antarabangsa (ISA).
Pertandingan akan bermula pada pagi Sabtu di Tahiti, dengan ramalan ombak besar dan tinggi. Yang Siqi, berusia 15 tahun, akan membuat penampilan sulung China dalam acara luncur air Olimpik.
-- BERNAMA