Atlet cacat penglihatan mahu rentas Selat Pulau Pinang

Bernama
Mei 12, 2013 07:35 MYT
Cacat penglihatan sejak lahir tidak menghalang hasrat Faiq Adnan, 23, untuk mencatat rekod peribadi merentasi Selat Pulau Pinang pada 19 Mei ini.
Atlet Paralimpik Pulau Pinang yang bergiat aktif dalam sukan renang sejak berusia sembilan tahun itu berkata hasrat berkenaan terpendam sejak 2008, iaitu selepas beliau menyertai acara renang 100 jam berganti-ganti anjuran Kelab Renang Bukit Mertajam.
"Setelah menamatkan cabaran itu, saya rasa yakin dapat pergi lebih jauh dan impian untuk berenang di laut berbanding di kolam renang begitu berkobar-kobar," katanya kepada pemberita hari ini.
Faiq, yang juga penuntut tahun dua jurusan Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya, berkata dorongan kuat jurulatih Datuk Ooi Win Juat dan anggota keluarga membakar semangatnya untuk berlatih selama tiga hingga empat jam sehari, empat kali seminggu.
"Datuk Ooi menjadi jurulatih saya semasa belajar di Sekolah Pendidikan Khas Alma, Bukit Mertajam dan walaupun beliau sibuk dengan urusan kerjanya, beliau tetap meluangkan masa membantu latihan saya," katanya.
Dalam cabaran sejauh lima kilometer itu, Faiq akan berenang diiringi jurulatihnya dalam sangkar dan yakin dapat menamatkannya dalam tempoh satu hingga dua jam.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata tidak seorangpun daripada anggota keluarganya yang pandai berenang, dan beliau ingin memberi inspirasi kepada golongan kurang upaya supaya berani keluar dari zon ketakutan serta mencuba aktiviti yang dilakukan mereka yang normal.
"Setakat ini, pencapaian terbaik saya adalah pingat gangsa dalam acara kuak dada semasa kali pertama menyertai Kejohanan Paralimpiad di Melaka pada 2008, walaupun tidak menang sebarang pingat dalam kejohanan sama tahun lepas, saya yakin persediaan selama ini dapat membantu," katanya.
Acara merentasi Selat Pulau Pinang yang julung kali dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Sukan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (Pesron) itu bermula pada 9 pagi di Pelabuhan Swettenham dan berakhir di Pantai Bagan Ajam, Butterworth.
Pengerusi Pesron Profesor Madya Dr Tiun Ling Ta mengajak masyarakat Pulau Pinang keluar beramai-ramai memberi sokongan kepada Faiq.
"Faiq mungkin bukan perenang yang pantas tetapi dia ada stamina dan semangat yang kuat. Saya yakin dengan dorongan semua dia dapat melakukannya dengan baik," katanya.
#faiq adnan #renang #selat pulau pinang
;