Atlet bukan kelapa yang diperah santan, dibuang hampasnya - Penganalisis
Hasimi Muhamad
Disember 29, 2022 16:15 MYT
Disember 29, 2022 16:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meletakkan kerjaya sukan dan para atlet yang mengharumkan nama negara setara pada tempatnya serta sebaris dengan kerjaya-kerjaya lain.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Sadek Mustafa berpandangan, kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini perlu membetulkan 'kegagalan' tersebut, sekali gus membela kebajikan para atlet.
Mengambil contoh selebriti, Mohd Sadek berkata golongan itu dilihat lebih disanjung dan terbela berbanding ahli-ahli sukan.
"Jadi di sini kerajaan atau rakyat sekarang perlu melihat bahawa atlet bukan seperti kelapa yang diperah santan dan kemudian dibuang hampasnya.
"Tetapi atlet itu perlu dilihat sebagai satu perkara yang amat penting dan insan yang berbakat, yang boleh membantu kerajaan dan menjadikan masyarakat dihormati di pentas dunia dan ikon.
"Kalau lihat di papan iklan, kita lihat gambar artis sebagai duta, tetapi jarang atlet itu dijadikan sebagai duta-duta dalam produk industri kerana kerajaan tidak meletakkan mereka setara dengan artis," katanya kepada Astro AWANI dalam segmen Pantau Kerajaan Baharu, hari ini.
Sebelum ini, lebih 300 atlet dan 100 persatuan sukan berkongsi maklum balas mengenai isu-isu berkaitan sukan melalui beberapa siri dialog awam bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli sejak 18 Disember lalu.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, sesi dialog awam yang diadakan sebanyak empat kali secara tertutup itu bertujuan membolehkan para peserta meluahkan pendapat secara terbuka.
Antara isu yang dibangkitkan adalah kebajikan atlet, khususnya selepas bersara dan selepas kecederaan; akses kepada kemudahan latihan; peluang terhad untuk menyertai pertandingan kompetitif serta keperluan untuk penyelarasan lebih baik antara pelbagai kementerian.
Dari segi fasiliti sukan pula, Mohd Sadek menambah, kemudahan yang ada di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan nasional perlu digunakan secara optimum dan holistik.
Jelas beliau, KBS juga perlu merangka dan membentangkan rancangan dalam tempoh 60 bulan sebagai usaha mengiatkan lagi kegiatan sukan dalam negara, sehingga ke peringkat antarabangsa.
Pembentangan rancangan, ujar Mohd Sadek, penting untuk masyarakat memberikan pandangan bagi penambahbaikan mutu sukan.
"Perkara ini sepatutnya sudah di hujung jari Menteri KBS dan timbalannya, mereka tak payah merujuk kepada pegawai KBS dan tahu serta rangka apa yang akan berlaku dalam tempoh 60 bulan daripada sekarang.
"Malangnya, kita lihat rakyat tidak dimaklumkan apakah polisi menteri tentang sukan di setiap peringkat," katanya.