ATF 2025: Malaysia dan Korea Selatan komited perkukuh kerjasama pelancongan

Syafik Shukri Jalil
Januari 19, 2025 19:50 MYT
Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, Yu Inchon (kiri) hadir sempena ASEAN Tourism Forum 2025 (ATF 2025), yang berlangsung di Johor Bahru, hari ini.- Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Malaysia dan Korea Selatan terus mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua negara dalam mempererat hubungan dua hala melalui pelancongan.

Ringkasan AI
  • Malaysia dan Korea Selatan menandatangani MoU untuk memperkukuh kerjasama pelancongan semasa ASEAN Tourism Forum 2025 di Johor Bahru.
  • MoU ini bertujuan meningkatkan pertukaran budaya, promosi pelancongan, dan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti serta ekopelancongan.
  • Kerjasama ini dijangka menjana peluang ekonomi dan manfaat jangka panjang bagi kedua-dua negara.

Ia selepas Kuala Lumpur dan Seoul secara rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, MoU ini dijangka membawa manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara.
Ini termasuk meningkatkan pertukaran budaya, mendorong peningkatan kedatangan dan hasil pelancongan, serta menjana peluang ekonomi.
“MoU ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan untuk memperkukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Republik Korea (Korea Selatan) dalam sektor pelancongan.
“Ia merangkumi komitmen bersama untuk meningkatkan pemahaman, pertukaran, dan kerjasama dalam pelbagai aspek pelancongan,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, MoU itu ditandatangani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, Yu Inchon.
Majlis menandatangani MoU ini berlangsung semasa penganjuran ASEAN Tourism Forum (ATF) yang diadakan dari 15 hingga 20 Januari 2025 di Johor Bahru.
Selain itu, antara fokus utama yang digariskan dalam MoU ini termasuk promosi dan pemasaran pelancongan, pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat dan amalan terbaik dalam pelancongan.
Pada masa sama MoU itu juga dimeterai bagi meningkatkan pelancongan perniagaan (MICE), serta membangunkan pelancongan berasaskan komuniti dan ekopelancongan.
#ATF 2025 #Malaysia #pelancongan #Korea Selatan
;