Atasi jenayah kecurian kenderaan, UNITEN, Globe Resources bangunkan ScanKod

Astro Awani
Mac 20, 2023 09:15 MYT
Dengan penggunaan ScanKod, jenayah kecurian menggunakan kaedah konvensional seperti mengubahsuai kenderaan atau plat pendaftaran sebelum dijual semula dapat dielakkan. - Foto Globe Resources
KUALA LUMPUR: Bagi menanggani kes kecurian kenderaan yang semakin berleluasa di negara, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dengan kerjasama sebuah syarikat swasta, Globe Resources Sdn Bhd membangunkan kod respons pantas atau kod QR.
Sistem yang dikenali sebagai ScanKod itu bakal digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelang akhir tahun ini sebelum ia dibuka kepada agensi penguatkuasaan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Globe Resources Sdn Bhd, S Maren memberitahu, dengan menggunakan ScanKod, jenayah kecurian menggunakan kaedah konvensional seperti mengubahsuai kenderaan atau plat pendaftaran sebelum dijual semula dapat dielakkan.
"Ini kerana plat pendaftaran kenderaan boleh diganti dengan mudah dengan nombor plat palsu, namun corak imabasan QR ScanKod tidak boleh ditiru atau diimitasi.
"Maka pihak berkuasa dapat menyemak keaslian kereta dengan cepat iaitu dengan hanya satu klik pada telefon bimbit mereka.
"Sistem yang serba mudah ini memerlukan pengguna kenderaan memasang atau menampal stiker berkod pada cermin kereta. Stiker tersebut bakal menyimpan segala data kenderaan dan pemilik.
"Pangkalan data tersebut mengandungi semua butiran kenderaan seperti jenama, pendaftaran, model, warna, maklumat pemilik sehingga nombor casis kereta dan ia boleh dimbas menggunakan aplikasi ScanKod yang hanya dimuatnaik dalam telefon bimbit pihak polis. Jika ada elemen keraguan, pihak polis boleh memeriksa secara lanjut," katanya di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Maren menjelaskan corak unik itu mengandungi beberapa lapisan keselamatan seperti penyulitan proprietari dan algoritma.
Beliau memberitahu, buat masa ini, pihakya akan membuka kemudahan pemasangan ScanKod di kedai-kedai aksessori dan bagi kenderaan baharu, daripada pihak pengeluar itu sendiri.
Menurutnya, ScanKod itu menggunakan tiga teknologi, dengan yang pertama ialah, pembinaan tersulit (encrypted built-in) dalam bentuk kod yang boleh imbas menggunakan formula yang hanya diketahui perekanya sahaja.
"Kedua, algoritma bermilik yang diaplikasikan dalam sistem berkomputer untuk keputusan yang direka. Terakhir ialah stiker yang ditampal pada skrin, sama seperti fungsi hologram yang merupakan medium penyimpanan data," tambahnya.
Katanya, aplikasi itu direka untuk kegunaan pihak polis yang secara rasmi bersetuju untuk memohon dan menguji ScanKod.
"Statistik polis menunjukkan terdapat kira-kira 13,000 kereta dilaporkan dicuri pada setiap tahun dengan hampir RM1 bilion kerugian direkodkan syarikat insurans dari segi tuntutan kecurian.
"Kenderaan yang dicuri ini dipasang dengan plat pendaftaran kepunyaan kenderaan lain yang mempunyai model sama," ujarnya.
#Polis Diraja Malaysia #ScanKod #jenayah kencurian kenderaan #Uniten
;