Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia Indonesia meninggal dunia

Bernama
Jun 15, 2016 00:43 MYT
Brig. Jen. Datuk Jalaludin Md Yusof meninggal dunia di Hospital MMC di Kuningan.
Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Brig. Jen. Datuk Jalaludin Md Yusof meninggal dunia di Hospital MMC di Kuningan di sini, malam ini.
Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata Jalaludin, 57, rebah ketika berjalan keluar di dewan utama kedutaan selepas majlis berbuka puasa anjuran kedutaan itu.
Katanya Allahyarham dikejarkan ke hospital tersebut dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8 malam.
Ketika kejadian, isterinya Datin Sadaah Mohamad turut berada di dalam dewan itu dan kemudian menemani suaminya ke hospital.
Zahrin berkata jenazah Allahyarham akan dibawa pulang dengan pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pukul 8 pagi waktu tempatan esok dan jenazahnya akan dikebumikan di kampungnya di Terendak, Melaka.
Majlis berbuka puasa itu dihadiri oleh lebih 100 orang terdiri daripada petugas kedutaan serta pelajar dan rakyat Malaysia yang tinggal di sini.
#Atase pertahanan #Indonesia #Malaysia #meninggal dunia
;