Asyraf Wajdi saman Malaysiakini, Astro AWANI masing-masing RM25 juta

Faris Danial Razi
Ogos 30, 2022 21:02 MYT
Asyraf turut menuntut agar Astro AWANI mendedahkan sumber yang didakwa melaporkan inti pati mesyuarat berkenaan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menghantar surat tuntutan saman pemula sebanyak RM25 juta kepada pihak Malaysiakini dan RM25 juta lagi terhadap Astro AWANI.
Beliau dalam satu perkongsian di Facebook memaklumkan, sudah tiba masanya UMNO untuk bersikap lantang dan lebih agresif kerana parti itu sudah lama bersikap ‘gentleman’.
“Ramai yang bertanyakan status saman terhadap Malaysiakini dan Astro Awani yang mengeluarkan berita fitnah terhadap UMNO.
“Untuk pengetahuan, Peguam yang mewakili UMNO sudahpun menghantar surat tuntutan saman pemula sebanyak RM25 juta kepada pihak Malaysiakini dan RM25 juta lagi terhadap Astro Awani.
“InsyaAllah, jika ada mana-mana lagi pihak termasuk individu yang memfitnah UMNO dengan apa juga bentuk laporan, komentar atau berita palsu, saya dan Pemuda UMNO tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa,” ujarnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
BACA: Majoriti Ketua Bahagian UMNO tolak usul desak PM campur tangan kes SRC - Sumber
BACA: Asyraf Wajdi mahu saman AWANI, Malaysiakini, dakwa petik sumber laporan tidak berasas
Tambahnya, sudah sekian lama UMNO membiarkan sahaja fitnah berlegar sehingga mencetuskan persepsi negatif yang memudaratkan parti dan seluruh warga pendokongnya.
Bagaimanapun, surat tuntutan daripada pihak peguamnya Shahrul Hamidi & Haziq ada membuat beberapa tuntutan daripada Malaysiakini dan Astro AWANI dalam masa 14 hari bermula hari ini.
Antara tuntutan yang dibuat adalah supaya menghentikan tindakan menerbit atau mengeluarkan lagi kenyataan fitnah atau sebarang kenyataan serupa yang bertentangan dengan kliennya (UMNO).
“Selain itu, menghapuskan posting dan/atau penerbitan dalam Portal Berita Dalam Talian tersebut terhadap klien kami serta-merta.
“Mendedahkan sumber dalaman dan/atau pemberi maklumat yang telah memberikan perkara yang tidak berasas kenyataan terhadap klien kami.
“Membuat permohonan maaf tanpa syarat secara bertulis dan menarik balik kata-kata tersebut kenyataan fitnah atau kenyataan serupa terhadap klien kami, atas syarat dipersetujui oleh kami bagi pihak klien kami.
“Dan menerbitkan artikel penarikan balik dan permohonan maaf tersebut dalam halaman dan saiz yang akan diluluskan oleh klien kami dalam sekurang-kurangnya dua akhbar nasional pilihan klien kami,” ujar pasukan pembelaan Asyraf.
Jumaat lepas, Asyraf menegaskan mahu menyaman dua syarikat berita, atas dakwaan membuat laporan dengan memetik sumber tidak berasas, serta mencetuskan persepsi negatif terhadap partinya.
Beliau memetik laporan Astro AWANI bertajuk “Majoriti Ketua Bahagian UMNO tolak usul desak PM campur tangan kes SRC – Sumber” yang diterbitkan pada 22 Ogos lepas.
Asyraf mendakwa, laporan itu fitnah dan berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap UMNO.
#Asyraf Wajdi Dusuki #Pemuda UMNO #berita palsu #saman #Malaysiakini
;