Asyraf Wajdi dilantik Pengerusi MARA

Siti Nur Aqilla Omar
Mac 12, 2023 14:30 MYT
Ahmad Zahid menyerahkan watikah pelantikan selaku Pengerusi MARA kepada Asyraf pada Jumaat lalu. -Twitter @kamalazizKinG
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Perkara berkenaan disahkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, watikah pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO itu telah diserahkan kepada Asyraf pada Jumaat lalu di kementeriannya.
"Bukan desas-desus lagi, beliau telah dilantik dan saya telah watikahkan dia pada hari Jumaat yang lalu.
"Penyerahan dibuat di KKDW kerana MARA di bawah kementerian itu," katanya ketika ditanya mengenai khabar pelantikan Asyraf sebagai Pengerusi Mara.
Beliau berkata demikian pada sidang media dalam lawatan kerja di Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), di sini, hari ini.
Pada Sabtu, Asyraf memuat naik 14 halaman resume milik beliau di Facebook dengan hantaran tawaran mencari kerja.
Beliau juga tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam Pemilihan yang berlangsung pada Sabtu.
#Asyraf Wajdi Dusuki #Zahid Hamidi #pengerusi MARA #KKDW
;