Asyik rasa lesu? Ikut petua ini untuk kekal bertenaga pada Ramadan
Astro Awani
April 10, 2022 09:07 MYT
April 10, 2022 09:07 MYT
RASA tidak bermaya, kurang bertenaga atau lesu sememangnya perkara yang lazim berlaku sewaktu menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Hakikatnya, Ramadan bukan sekadar mengajar umat Islam untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga.
Kita juga digalakkan untuk menjadi lebih sabar, melakukan lebih banyak amal ibadat, bersedekah dan juga mengukuhkan hubungan silaturahim sesama manusia.
Kenapa bulan puasa sering dikaitkan dengan badan yang lesu?
Pakar Psikologi Sukan dan Pelatih Kecergasan, Aiman Salim berpendapat, ia kerana mungkin ada di antara kita yang tidak jaga pemakanan dan tidak tahu bahawa kita masih perlu bersenam atau melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh.
Katanya, terdapat tiga petua boleh diamalkan untuk menjadikan badan kekal cergas, antaranya:
1) Makan secukupnya
Sama juga tiga kali sehari seperti pada bulan-bulan biasa iaitu sewaktu berbuka, dua hingga tiga jam selepas berbuka iaitu moreh dan sewaktu sahur.
Makan hidangan yang bernutrisi lengkap mengembalikan tenaga anda untuk melakukan rutin harian dan dapat lebih menumpukan perhatian semasa bekerja.
Juga, minum air yang mencukupi tetapi secara berkala dan tidak minum dalam amaun yang banyak sekaligus kerana badan seseorang memerlukan masa untuk menyerap air itu.
2) Bersenam secara konsisten
Jika kita konsisten untuk bersenam setiap minggu misalnya, tidak bermaksud anda perlu melakukan senaman berat di gimnasium atau membakar seribu kalori sehari.
Anda perlu mencari keseimbangan antara menunaikan ibadah semasa bulan Ramadan dan memastikan diri anda kekal sihat serta aktif.
Kalau hari ini anda mungkin dapat bersenam dalam lima ke 10 minit sahaja sehari, cuba tingkatkan kepada 30 minit sehari. Tidak perlu lakukan senaman yang berat pun, cukup sekadar ‘home workout’ yang boleh membuatkan anda berpeluh.
3) Jaga mental
Cara kita bercakap dengan diri kita sendiri adalah amat penting, kerana tiada perkara lain yang mampu mendorong diri kita untuk menjadi lebih baik selain diri kita sendiri.
Jika anda ingin hidup sihat, pastikan pemikiran anda juga sihat. Elakkan diri anda terbeban bahawa seperti memikirkan yang kalau kita ingin memiliki bentuk tubuh badan yang ideal, anda memerlukan kos dan masa yang panjang.
Setiap aktiviti pastinya boleh dilaksanakan jika anda set pemikiran anda. Tidak mengapa jika anda tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersenam atau
Hentikan pemikiran sebegitu, bangun dari katil anda dan segera melakukan lompat bintang dan anda akan rasakan sendiri perubahannya.
Bila waktu yang sebaiknya bersenam ketika puasa?
Sebenarnya, waktu yang tepat untuk anda melakukan sukan semasa berpuasa bergantung kepada diri anda sendiri.
Kekuatan setiap orang adalah berbeza-beza. Walau bagaimanapun, terdapat masa yang paling baik bagi anda untuk bersenam di bulan puasa.
Jelas Aiman, waktu yang seelok-eloknya untuk kita bersenam adalah beberapa jam selepas berbuka kerana pada ketika itu badan kita mempunyai kalori yang banyak untuk dibakar.
Namun tambahnya, ia bergantung juga kerana ada yang melihat senaman itu boleh dilakukan ketika seseorang mempunyai kelapangan masa.
Selain itu, ada juga masa-masa lain seperti sebelum berbuka kerana melakukan aktiviti sukan semasa perut kosong boleh membantu anda dalam menghilangkan lemak lebih banyak.
Orang ramai juga mungkin tidak perlu bimbang akan mengalami paras gula dalam darah rendah atau kekal dehidrasi.
Namun beliau mengingatkan, orang ramai perlu menyediakan tenaga untuk melakukan aktiviti selanjutnya sehingga berbuka puasa serta ‘don’t push too hard’.