Astro, WWF meterai MOU, lancar kempen Rimba Kita pelihara alam sekitar
Faida Rahim
Ogos 17, 2023 22:13 MYT
Ogos 17, 2023 22:13 MYT
KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama World Wildlife Fund (WWF) Malaysia sebagai inisiatif memelihara dan memulihara kawasan hijau menerusi kempen Rimba Kita.
Dianggarkan lebih 200 peserta yang merupakan kakitangan Astro menunjukkan sokongan dengan menyertai acara hiking sejauh lima kilometer di Taman Tugu Negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Euan Smith memaklumkan keyakinan bahawa kempen Rimba Kita di bawah inisiatif Astro memperkuatkan semangat kepentingan serta tanggungjawab bersama menuju masa depan yang mampan.
"Rimba Kita adalah saya, kami di Astro membantu menyampaikan mesej perubahan iklim, membina kesedaran tentang perubahan iklim, membina kesedaran tentang perkara yang perlu kita lakukan untuk melindungi alam sekitar.
"Pada penghujungnya, hutan adalah nadi dunia, jika tiada hutan, tiada pokok, tiadalah kehidupan di planet ini," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran kempen Rimba Kita pada Khamis.
Kedudukan unik Astro sebagai syarikat kandungan dan hiburan terkemuka di Malaysia mampu memanfaatkan platform dan kandungan yang meluas untuk memperkukuhkan kesedaran alam sekitar, memberi inspirasi, mempengaruhi dan merangsang perubahan di masa hadapan.
Dalam pada itu, Astro akan bekerjasama dengan beberapa badan organisasi termasuk Taman Tugu Malaysia, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) b(UNGCMYB) dan banyak lagi untuk melaksanakan perubahan positif ke arah advokasi alam sekitar.
Sementara itu, Astro terus mengorak langkah ke hadapan dalam penglibatan komuniti dengan penganjuran Larian RimbaKita sejauh 5 km di Taman Wetland Putrajaya pada Ahad, 24 September 2023 dan boleh mendaftar di https://www.ticket2u.com.my/event/32065/rimbakita-run.