Astro tawar pelan lebih fleksibel, gantung tindakan pemotongan akaun pelanggan
Astro Awani
Julai 29, 2020 18:48 MYT
Julai 29, 2020 18:48 MYT
Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) menggantung tindakan pemotongan akaun pelanggan buat sementara waktu untuk membantu mengurangkan beban kewangan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Henry Tan, menjelaskan syarikat itu turut menawarkan pelan langganan yang lebih fleksibel dan urusan pembayaran lebih sesuai kepada organisasi komersial.
“Diinspirasikan oleh semangat #kitajagakita yang dipamerkan rakyat Malaysia dan syarikat-syarikat di negara ini dalam membantu sesama kita dalam menempuhi cabaran yang tercetus disebabkan oleh pandemik COVID-19 ini, Astro mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan beberapa tindakan penting bertujuan untuk turut sama menyokong negara, pelanggan dan masyarakat setempat secara amnya,” katanya dalam satu kenyataan menyusul Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Astro yang diadakan secara maya sepenuhnya dari Pusat Penyiaran Asia, di ibu negara.
Tambahnya, Astro meletakkan misi mengukuhkan kedudukannya sebagai Destinasi Hiburan Pilihan Rakyat, dengan menyediakan perkhidmatan terbaik di rumah dan kepada individu perseorangan melalui usaha untuk memperbanyakkan inisiatif berkaitan pelanggan dengan menawarkan pengalaman terhebat Astro menerusi 4K UHD kepada 5.7 juta pelanggan sedia ada.
"Pada masa yang sama, perkhidmatan tersebut turut hadir dengan Ultra Box, jalur lebar dan e-dagang. Pakej kombinasi jalur lebar dan kandungan kami juga menawarkan nilai dan kemudahan yang lebih hebat, yang mana anda berpeluang untuk mengakses kepada 50,000 kandungan yang pelbagai dari platform On Demand kami.
"Dalam pada itu, perkhidmatan TV ‘freemium’ kami, NJOI (perkhidmatan televisyen dan radio satelit percuma) menyajikan rakyat Malaysia dengan program-program TV terbaik secara percuma, dengan pilihan tambahan kepada pelanggan untuk membeli saluran atau kandungan yang diingini secara berasingan,” jelas Tan.
Astro turut memperkasakan usahanya dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk segmen individu terutamanya kepada pengguna perkhidmatan penstriman video, radio, dagangan dan jenama-jenama digital.
Kumpulan Astro kini memiliki tiga perkhidmatan penstriman eksklusif iaitu aplikasi Astro GO, HBO GO dan iQIYI.
Kumpulan Astro juga bercadang untuk memperkenalkan lebih banyak aplikasi penstriman video di masa hadapan bagi kemudahan pelanggan. Tan turut berkata, syarikat itu memanfaatkan kemampuan untuk bertindak pantas dan responsif, dipacu oleh faktor digital dan tekonologi, serta kekuatan sedia ada Astro, terutamanya menerusi kandungan, capaian pasaran dan keupayaaan pemasaran.
"Astro terbukti lebih dari sekadar platform sahaja. Maju ke hadapan, Astro akan meletakkan sepenuh fokusnya untuk menghasilkan lebih banyak kandungan berbentuk ringkas namun mampu menawarkan sebuah pengalaman terhebat.
"Kami akan memperketatkan lagi usaha untuk menambah lebih banyak perkhidmatan penstriman OTT demi memastikan Astro menjadi pilihan utama pengguna digital.
#Asia
#Astro
#Astro GO
#COVID-19
#HBO GO
#hiburan
#koronavirus
#Malaysia
#NJOI
#pandemik
#penstriman video
#radio
#rakyat
#rakyat Malaysia
#video