Astro raih RM75,000 ganti rugi berkanun pertama untuk pelanggaran hak cipta
Kenyataan Media
November 27, 2024 17:10 MYT
November 27, 2024 17:10 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat penyiaran terkemuka Malaysia, Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. iaitu sebuah anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad, mencatat sejarah menerima ganti rugi berkanun pertamanya bagi satu kes pelanggaran hak cipta membabitkan sebuah pub tempatan, sekali gus menetapkan tanda aras baharu dalam hal ehwal penguatkuasaan harta intelek di negara ini.
Mahkamah Tinggi Malaya telah memerintahkan Brew Nation (M) Sdn. Bhd. membayar RM75,000 kerana menstrim kandungan premium Astro secara haram. Ini merupakan kali pertama Astro menerima ganti rugi berkanun di bawah Seksyen 37 Akta Hak Cipta 1987.
Berbeza dengan ganti rugi pampasan yang memerlukan bukti kerugian sebenar, jumlah bagi ganti rugi berkanun telah tersedia maktub dalam undang-undang yang berkenaan untuk menekankan kepentingan pencegahan dan kebertanggungjawaban.
Selain itu, mahkamah turut menganugerahkan kos guaman sebanyak RM5,000 kepada Astro.
Pelanggaran hak cipta terbabit berlaku pada 12 Ogos 2023 di pub Brew Nation di Bandar Rimbayu, Selangor, di mana perniagaan tersebut menstrim kandungan sukan eksklusif secara langsung, termasuk perlawanan bola sepak, untuk menarik pelanggan.
Dalam keputusan yang bertarikh 6 November 2024, mahkamah juga memutuskan bahawa para pengarah Brew Nation bertanggungjawab, secara peribadi, untuk mematuhi perintah tersebut. Oleh itu, mahkamah turut mengenakan injuksi kekal bagi menghalang sebarang pelanggaran hak cipta lanjut.
Asto menganggap keputusan ini sebagai satu langkah pencegahan kukuh yang menegaskan kepentingan dalam menghormati undang-undang hak cipta.
Menyambut baik keputusan bersejarah ini, Ketua Jualan dan Pemasaran Astro Tai Kam Leong berkata: “Keputusan ini mengukuhkan pengiktirafan mahkamah terhadap keperluan melindungi hak harta intelek dan mencegah pelanggaran pada masa hadapan. Ia memberikan mesej jelas bahawa pelanggaran hak cipta membawa padah yang serius.
"Sebagai pelabur utama dalam program premium dan liputan sukan eksklusif, kemenangan ini menjadi bukti komitmen Astro untuk melindungi para pencipta kandungan, bakat-bakat serta inovasi yang ada dalam industri ini," katanya.
Dalam kes berasingan, Astro turut mencatat kemenangan dengan penyelesaian sebanyak RM15,000 dalam kes pelanggaran hak cipta terhadap seorang penjual peranti penstriman haram, Yap Kim Hon, yang berniaga di bawah nama YKH Digital Enterprise.
Defendan didapati menjual dan mengedar karya hak cipta milik Astro tanpa kebenaran yang melanggar Seksyen 13, 36 dan 37 Akta Hak Cipta 1987. Sebagai sebahagian daripada penyelesaian tersebut, Yap bersetuju untuk menghentikan semua aktiviti yang melanggar hak cipta dan tidak lagi membolehkan pihak lain untuk turut melanggar hak cipta Astro juga.
Penstriman haram telah diisytiharkan sebagai satu jenayah pada November 2022, di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memaktubkan bahawa ia menjadi satu kesalahan bagi premis komersial untuk menayangkan kandungan penyiaran kepada umum jika sumbernya tidak sah, ini termasuklah siaran Astro yang tidak memiliki lesen komersial yang sahih.