Astro Radio salur bantuan kepada mangsa banjir di PPS Kelab Sultan Sulaiman
Afiq Ariffin
September 11, 2020 08:51 MYT
September 11, 2020 08:51 MYT
Banjir kilat yang melanda Lembah Klang ekoran hujan lebat selama dua jam pada petang Khamis, memaksa beberapa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Kelab Sultan Sulaiman.
Susulan itu, Astro Radio dengan kerjasama Etika turun padang bagi memberikan bantuan kepada mangsa yang terkesan di pusat itu.
Kerja-kerja amal itu dikongsikan stesen radio Era dan Sinar menerusi laman Instagram rasmi stesen berkenaan.
“@zahieryusoff kini berada di Pusat Pemindahan Sementara, Kelab Sultan Sulaiman untuk mengagihkan air mineral Bleu secara percuma dengan kerjasama Astro Radio dan Etika kepada mangsa banjir.
"Terima kasih juga kepada semua frontliners yang terlibat dalam misi ini #SharERA,” jelas muat naik itu.
“@hefnysahad di Pusat Pemindahan Sementara, Kelab Sultan Sulaiman sedang mengagihkan air mineral Bleu secara percuma dengan kerjasama Astro Radio dan Etika kepada mangsa banjir .
"Turut sama para petugas barisan hadapan yang membantu semua mangsa yang terjejas. #SinarKongsi,” tulis Sinar FM menerusi muat naik Instagram.
Pada Khamis, hujan lebat yang turun di ibu kota selama dua jam bermula pukul 2 petang mengakibatkan beberapa kawasan dilanda air banjir antara satu hingga tiga meter.
Banjir berkenaan turut menyebabkan beberapa buah kenderaan ditenggelami air namun tiada mangsa yang terlibat dalam banjir tersebut, jelas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi menerusi satu kenyataan.
Operasi menyelamat juga dijalankan anggota JBPM dengan memindahkan tiga mangsa yang terperangkap di dalam rumah di Jalan Raja Alang menggunakan bot.
Menurut Nordin, lebih 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak, BBP Keramat dan BBP Setapak digerakkan ke lokasi banjir untuk proses pemantauan.
#Astro
#banjir
#bantuan
#bomba
#bot
#era
#Instagram
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#mangsa
#mangsa banjir
#operasi
#petugas barisan hadapan
#PPS
#pusat pemindahan
#radio
#Sinar