Astro Radio lancar Kami Care Helpline, ringankan beban individu terkesan COVID-19
Astro Awani
Julai 7, 2021 14:29 MYT
Julai 7, 2021 14:29 MYT
KUALA LUMPUR: Astro Radio mengambil inisiatif membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dengan melancarkan kempen Kami Care Helpline.
Ia membolehkan mereka yang terjejas mengemukakan permohonan bantuan menerusi talian WhatsApp pada bila-bila masa, setiap hari dari kesemua jenama Astro Radio.
Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio, Kenny Ong berkata pihaknya berharap Kami Care Helpline mampu membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendapat barangan keperluan harian ketika waktu sukar ini.
"Kami berusaha untuk meningkatkan sokongan bantuan dan jangkauan kami kepada mereka yang memerlukan menerusi kempen ‘Kami Care’ dan berkongsi lebih maklumat pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan media.
Pendengar juga boleh menghantar permohonan bagi pihak orang lain yang memerlukan bantuan.
Permohonan Kami Care Helpline perlu disertakan nama penerima, nombor telefon, alamat rumah, dan maklumat ringkas mengapa mereka memerlukan bantuan ini.
Kempen yang disertai oleh 11 stesen radio dibawah rangkaian Astro Radio iaitu ERA, SINAR, Gegar, Zayan, Raaga, MY, Melody, GoXuan, Hitz, Mix dan Lite terbahagi kepada tiga fasa.
1. Kami Care Helpline: Bermula pada 1 Julai lalu di mana mereka yang perlukan bantuan boleh menghantar terus butiran melalui mesej ke talian WhatsApp ke semua stesen Astro Radio. Setiap hari pihak Astro Radio akan memilih mereka yang betul-betul memerlukan bantuan untuk diberikan pek bantuan Kami Care.
2. Kami Care Kita Jaga Kita bersama Food Panda: Astro Radio bersama Food Panda mengajak rakyat Malaysia menyertai program Feed Malaysian. Orang ramai boleh bantu orang sekeliling mereka dengan buat pesanan barangan keperluan dan makanan melalui Food Panda dengan menggunakan kod promo khas - FOODPANDACARES untuk dapatkan diskaun RM10. Kempen ini telah bermula sejak Isnin, 5 Julai lalu.
3. Kami Care Kita Jaga Kita bersama Lotus’s: Bermula 12 Julai, orang ramai yang turut ingin membantu mereka yang terjejas boleh menyumbang barang keperluan di kotak yang disediakan di 10 pasaraya Lotus’s yang terpilih di seluruh negara. Sumbangan tersebut akan diserahkan kepada mereka yang memerlukan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO).
#Astro Radio
#Kami Care Helpline
#pandemik
#COVID-19
#bantuan makanan
#bantuan kotak makanan
#Kenny Ong
#Food Panda
#lotus