Astro, Premier League perangi cetak rompak dengan kempen 'Boot Out Piracy'
Firdaus Azil
Oktober 27, 2024 16:40 MYT
Oktober 27, 2024 16:40 MYT
KUALA LUMPUR: Usaha Astro Malaysia Holdings (Astro) untuk membanteras jenayah penstriman haram di Malaysia, terus diperkukuh dengan kerjasama strategik bersama Premier League sempena bermulanya musim Liga Perdana Inggeris 2024/25.
Sehubungan itu, Astro berkata, kempen ‘Boot Out Piracy’ di Malaysia dalam acara BizOne Watch Party dilancar secara rasmi di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Kuala Lumpur, bersempena perlawanan antara Manchester City dan Southampton.
Dengan kehadiran kira-kira 250 peminat, Astro dan Premier League mengambil peluang untuk menekankan isu kritikal perihal cetak rompak digital, katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Peminat yang hadir turut terlibat dalam perbincangan tentang risiko tersembunyi penstriman haram, termasuk ancaman keselamatan siber dan kewangan yang sering tidak disedari pengguna.
Pelakon terkenal, Alif Hadi yang menjadi pengacara pada malam itu berkata, sokongan terhadap penstriman yang menyiarkan kandungan sama ada sukan atau hiburan secara tidak sah, akan memusnahkan industri itu sendiri.
“Kalau kita tengok melalui saluran yang tidak sah, secara tak langsung ia akan memusnahkan lagi industri tu sendiri. Seolah-olah kita tak menyokong pemain, tak menyokong kelab bola tu sendiri, tak menyokong industri penyiaran.
“Macam saya sendiri sebagai pelakon, kalau karya dicuri atau orang tengok dekat platform tak sah, saya akan rasa tak dihargai, dan karya saya macam dinodai,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Haddad, lebih popular dikenali sebagai Altimet, juga menyeru orang ramai untuk menolak budaya menyokong kandungan cetak rompak dan penstriman haram
“Cetak rompak dah lama wujud, jadi kalau kita nak letak satu angka tu sangat susah, ia boleh jadi anggaran saja.
“Yang penting saya tahu selagi cetak rompak ini ada atau cetak rompak hadir dalam industri, kita tak dapat maksimumkan sepenuhnya potensi orang seni kreatif dalam industri, kita tak dapat maksimumkan pulangan daripada harta intelek mereka, hasil karya mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu Astro berkata, dengan kehadiran penguat kuasa undang-undang dan pihak berkuasa tempatan, acara ini menekankan kepentingan usaha bersama dalam memerangi cetak rompak digital demi melindungi ekosistem industri hiburan.
Pengarah Kawal-Selia dan Hal Ehwal Korporat Astro, Rita Irina Abd Wahab, berkata cetak rompak telah mencuri nadi kehidupan industri di samping mendedahkan pengguna kepada risiko tanpa mereka sedari.
“Di Astro, kami mengambil langkah tegas melalui tindakan dan kerjasama, termasuk bersama pihak berkuasa dan Premier League, untuk membanteras penstriman haram demi melindungi penonton kami.
“Kempen ‘Boot Out Piracy’ ini bukan sekadar kempen kesedaran, tetapi satu usaha untuk mengubah tabiat, membina kepercayaan, dan memastikan peminat dapat menikmati kandungan dengan cara yang sah, selamat, dan berkualiti,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Penasihat Undang-Undang Premier League, Kevin Plumb, berkata, peminat menikmati aksi Liga Perdana Inggeris dalam kualiti terbaik dan dengan selamat menerusi saluran yang sahih.
“Selain menyampaikan mesej penting, kami juga mahu memperkukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dan rakan kongsi kami, Astro, bagi mengambil tindakan tegas terhadap cetak rompak digital. Ini termasuk kerjasama dalam mengenal pasti serta membanteras sindiket cetak rompak digital dan menangani pengedaran peranti penstriman haram.”
“Kami menggalakkan peminat untuk melindungi keselamatan dalam talian dan menikmati perlawanan Liga Perdana Inggeris menerusi platform sah, yang menawarkan pengalaman tontonan terbaik,” katanya lagi.