Astro Oasis penyiar utama World #QuranHour 1444H

Sinar Harian
April 1, 2023 13:26 MYT
Nadirah berucap pada Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena World #QuranHour 1444H yang berlangsung di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf baru-baru ini. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Saluran Astro Oasis akan menjadi penyiar utama bagi program World #QuranHour 1444H yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 13 April 2023.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim berkata, pihaknya berbesar hati dan teruja kerana berpeluang menyiarkan bacaan al-Quran iaitu Surah Al-Insan kepada semua masyarakat di negara ini.
"Kami sangat menyokong inisiatif dan usaha untuk menerapkan ilmu al-Quran dalam diri semua umat Islam. Saya anggap itu adalah peluang untuk kami mengumpul sebanyak mungkin pahala.
"Diharapkan orang ramai dapat meluangkan sedikit masa untuk sama-sama membaca dan memahami maksud surah tersebut sekali gus diamalkan dalam kehidupan harian," katanya ketika menghadiri Majlis Taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 1444H.
Turut hadir, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi WUIF, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail; Pengurus Besar Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman serta Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Suzliana Abdul Hamid.
World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.
Tambah Nadirah, beliau percaya program tersebut dapat mengharumkan nama negara kerana ia bukan sahaja mendapat liputan media tempatan tetapi juga di peringkat global.
Sementara itu, Khairunnisa berpendapat, kerjasama yang dijalankan itu adalah satu permulaan untuk menerbitkan lebih banyak lagi program ilmuwan dan berkualiti.
"Saya bersyukur dapat menjalankan kerjasama ini. Mengetengahkan Surah Al-Insan dilihat sangat sesuai dengan keadaan semasa apabila ramai masyarakat hari ini hilang rasa hormat antara satu sama lain terutamanya di media sosial.
"Oleh itu, marilah kita sama-sama menyertai program tersebut supaya ia bergema di seluruh pelosok dunia," jelasnya. - Sinar Harian
#astro oasis #World QuranHour #Puasa 2023 #Ramadan 1444H
;