Astro menang kes hak cipta, kafe pool didenda RM175,000 siar EPL secara haram

Hasimi Muhamad
Januari 23, 2025 17:15 MYT
Astro menganggap kemenangan ini sebagai usaha berterusan untuk mempertahankan hak intelek dan memastikan tindakan tegas terhadap mereka yang mengaut keuntungan daripada kandungan cetak rompak. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Astro mencatat kemenangan kedua dalam penganugerahan ganti rugi statutori oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas sebuah kafe pool tempatan didapati bersalah melanggar hak cipta kerana menstrim perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara haram.

Ringkasan AI
  • Astro memenangi kes kedua di Mahkamah Tinggi dengan penganugerahan ganti rugi statutori berjumlah RM175,000 terhadap sebuah kafe pool tempatan yang menstrim perlawanan EPL secara haram.
  • Mahkamah mengeluarkan injunksi kekal melarang defendan daripada menstrim kandungan hak cipta Astro secara tidak sah pada masa akan datang dan memerintahkan mereka membayar kos guaman sebanyak RM10,000.
  • Astro menganggap kemenangan ini sebagai usaha berterusan untuk mempertahankan hak intelek dan memastikan tindakan tegas terhadap mereka yang mengaut keuntungan daripada kandungan cetak rompak.

Dalam keputusan bertarikh 7 Januari, mahkamah memihak kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd, anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad, dengan menganugerahkan ganti rugi statutori berjumlah RM175,000.
Selain ganti rugi, pihak mahkamah turut mengeluarkan injunksi kekal terhadap defendan, melarang mereka daripada menstrim kandungan hak cipta Astro secara tidak sah pada masa akan datang.
Defendan juga diperintah membayar kos guaman sebanyak RM10,000.
Astro dalam kenyataan hari ini berkata, kes tersebut melibatkan Frenz Pool Café dan Tuwang 69 Sdn Bhd, yang menstrim kandungan Astro tanpa kebenaran.
"Tindakan undang-undang ini membabitkan tayangan awam tanpa kebenaran perlawanan EPL antara Manchester United dengan Brighton pada 16 September 2023, yang disiarkan menerusi Astro Supersport 3.
"Pelanggaran tersebut turut melibatkan penggunaan logo dan elemen penjenamaan Astro secara tidak sah, yang menjadi faktor penting dalam keputusan mahkamah," katanya syarikat itu.
Kenyataan itu menambah, Astro menganggap kemenangan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempertahankan pencipta, bakat, serta inovasi yang menjadi teras industri hiburan.
Kemenangan itu juga susulan kejayaan pertama Astro dalam penganugerahan ganti rugi statutori pada November 2024 yang melibatkan sebuah pub tempatan.
Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong dalam kenyataan sama menyambut baik keputusan tersebut yang memihak kepada Astro.
"Kami amat berbangga menerajui usaha melindungi hak intelek, dan keputusan ini menegaskan komitmen kami untuk memastikan mereka yang mengaut keuntungan daripada kandungan cetak rompak dikenakan tindakan tegas.
"Perjuangan kami tidak terhenti di sini. Kami akan terus bertindak melindungi kandungan bermutu kami bagi membina ekosistem digital yang lebih adil untuk semua," katanya.
#Cetak rompak #Astro #Strim EPL haram #ganti rugi statutori
;