Astro, Maxis terima penghargaan bantu komuniti terjejas tsunami Sulawesi

Ehsan A Marisah
Julai 6, 2022 14:54 MYT
Kunjungan hormat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ke Pusat Penyiaran Asia Astro pada Rabu. - Foto Astro AWANI
BUKIT JALIL: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dan Maxis Berhad (Maxis) hari ini menerima penghargaan daripada Yayasan Badan Usaha Milik Negara (BUMN) menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta atas usaha membantu membangunkan semula sekolah serta komuniti akibat bencana gempa bumi dan tsunami Sulawesi.
Bencana yang berlaku di Sulawesi Tengah pada 2018 itu menyaksikan Astro dan Maxis menggerakkan usaha meraih dana dan menyalurkan sumbangan sebanyak RM5 juta ke Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi.
Menerusi pembentangan laporan disampaikan oleh Pengerusi Yayasan BUMN, Harjawan Balaningrath secara maya hari ini, kerja-kerja pemulihan dua buah sekolah, iaitu SDN Balongga dan SMPN 26 Sigi yang bermula Februari 2020 telah siap sepenuhnya pada 6 Januari 2021.
Justeru, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hadir di Pusat Penyiaran Asia Astro bagi menghargai usaha murni Astro dan Maxis kerana membantu pemulihan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, pihaknya sentiasa menyokong kepentingan peranan pendidikan dalam menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan komuniti yang mampan.
“Pendidikan kekal di barisan hadapan dalam inisiatif sosial kami bagi mengekalkan komitmen kami terhadap bantuan kemanusiaan tempatan dan menyokong pendidikan kanak-kanak walaupun di luar bandar Malaysia.
“Kami berbesar hati kerana pembinaan semula SDN Balongga dan SMPN 26 Sigi telah siap pada penghujung tahun 2020, membolehkan pelajar kembali meneruskan pengajian mereka semula.
“Terima kasih kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Yayasan BUMN Hadir Untuk Negeri atas usaha membangunkan semula komuniti di Palu,” katanya dalam kunjungan hormat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan wakil Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ammil Afiq Jasim berkata, usaha murni bersifat bantuan kemasyarakatan itu meningkatkan dan mengeratkan hubungan dua negara ini dan wajar dicontohi ramai pihak.
“Melalui sumbangan korporat seperti ini dapat membantu dan menjadi duta kepada Malaysia.
“Kerja-kerja sosial seperti ini menunjukkan bahawa Malaysia merupakan negara yang prihatin terhadap isu-isu yang yang berlaku di Indonesia dan negara serantau,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha dan Penolong Pengarah Jabatan Perdana Menteri, Nur Najwa Hasruddin.
Terdahulu, Astro dan Maxis menyahut panggilan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada negara-negara ASEAN untuk membantu Indonesia memulakan tugas pemulihan berikutan bencana gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah.
Misi Kemanusiaan | Astro, Maxis terima penghargaan bantu komuniti
Pendidikan | Pembangunan sekolah di Sigi
#Astro #Maxis #Yayasan BUMN #tsunami #Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta #bantuan #tsunami sulawesi #gempa
;