Astro komited teruskan legasi Ananda Krishnan
Umavathi Ramayah
November 28, 2024 16:39 MYT
November 28, 2024 16:39 MYT
KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) menzahirkan dukacita atas pemergian pemegang saham syarikat stesen televisyen satelit pertama negara itu, Ananda Krishnan Tatparanandam pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith memberitahu, mendiang memainkan peranan penting yang luar biasa dalam membentuk landskap industri media, telekomunikasi dan hiburan tempatan.
"Misi Ananda Krishnan melangkau sekadar membina sebuah syarikat, sebaliknya beliau mewujudkan arah tuju kepada ramai.
"Menerusi Astro, mendiang juga menjadi asas untuk mencorak kehidupan orang ramai dengan membuka peluang pekerjaan dan mengasah bakat tempatan dalam dunia hiburan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Smith berkata, sumbangan mendiang akan terus dikenang dan terpahat dalam sejarah negara,
Menurutnya, komitment beliau dalam aspek kecemerlangan dan nilai kemanusian akan terus menjadi inspirasi syarikat itu untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan.
Pada masa sama, katanya, Astro memohon orang ramai supaya menghormati privasi keluarga pada tempoh berkabung ini.
Ananda Krishan yang merupakan Pengerusi Usaha Tegas Sdn Bhd meninggal dunia di usia 86 tahun pada Khamis.
Perkara itu disahkan syarikat pegangan pelaburan itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
"Dengan rasa dukacita, kami ingin mengumumkan berita mengenai pemergian Pengerusi kami (Usaha Tegas Sdn Bhd ), Ananda Krishnan Tatparanandam. Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 28 November 2024," menurut kenyataan itu.