Astro Kasih sumbang keperluan asas kepada 100 keluarga kampung Malinsau, Ranau
Astro Awani
April 11, 2020 11:39 MYT
April 11, 2020 11:39 MYT
Kesukaran kira-kira 100 keluarga dan ketua isi rumah dari Sekolah Kebangsaan Malinsau, Ranau untuk mendapat keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat perhatian pelbagai pihak.
Dengan jarak kampung yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pekan Kundasang dan Ranau, sudah pasti bantuan makanan asas ini melegakan mereka yang turut mematuhi PKP itu.
Mengetahui mengenai kesulitan yang dialami penduduk kampung, Astro Kasih mengambil inisiatif menghulurkan bantuan dengan menghubungi Guru Besar SK Malinsau, Jamain Abd Halim.
"Antara bantuan yang disumbangkan adalah beras, minyak masak, beberapa barangan keperluan asas serta topeng muka.
"Astro Kasih pernah bekerjasama dengan SK Malinsau sejak 2012 dengan membina asrama sekolah terbabit dan beberapa program komuniti. Sekolah itu merupakan tempat untuk menghubungkan penduduk setempat," katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, bagi Jamain, Astro Kasih telah menjadi sebahagian daripada komuniti SK Malinsau sejak 2012 dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk asrama dan ruang pembelajaran.
"Dengan bantuan mereka, kami dapat membeli bekalan makanan yang diperlukan untuk kira-kira 100 keluarga yang terjejas pada PKP.
"Penduduk kampung sekarang akan mempunyai cukup bekalan sepanjang tempoh ini apabila mereka tidak dapat pergi ke pekan berhampiran dan bekerja," katanya.