Astro hasil dokumentari eksklusif dengan KLUFC
Astro Awani
Februari 22, 2021 13:50 MYT
Februari 22, 2021 13:50 MYT
KUALA LUMPUR: Astro dan Kuala Lumpur United FC (KLUFC) mengumumkan akan menyiarkan satu dokumentari baharu kisah di belakang tabir pasukan itu pada musim Liga Super Malaysia akan datang.
Dalam satu kenyataan, Astro menjelaskan, dokumentari itu akan dilancarkan pada tahun ini untuk semua pelanggannya.
Jelas kenyataan itu, ia akan meliputi kandungan terpilih untuk peminat KLUFC dan orang ramai.
Dokumentari itu akan membawa peminat sukan melalui perspektif KLUFC yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Selain perlawanan, dokumentari akan menunjukkan kemudahan latihan pasukan itu, aksi di padang dan di bilik persalinan semasa perlawanan, dengan akses jarak dekat kepada pemain, jurulatih, dan kakitangan kelab.
Dokumentari juga akan memaparkan kepada peminat aksi ketua jurulatih baharu Bojan Hodak, bersama pemain baharu termasuk penyerang legenda Malaysia, Safee Sali, Dominique Da Sylva dan Romel Morales.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata, ini adalah dokumentari pertama membabitkan pasukan tempatan dan pihaknya gembira dapat turut serta.
"Kami akan terus mencari kaedah baru untuk berinteraksi dengan peminat sukan Malaysia.
"Kami mahu mengetengahkan atlet Malaysia dan dedikasi mereka melalui dokumentari ini serta memberikan peminat sisi segar dan pengalaman eksklusif dengan KLUFC," jelasnya lagi.
Pelanggan Astro juga berpeluang memenangi tiket untuk menonton perlawanan KLUFC secara langsung di stadium tempatan.
Selain itu, Astro juga akan menyiarkan sebuah perlawanan 'derby' istimewa di gelanggang berkecuali.
"Kami berharap kerjasama ini akan memberikan kandungan bermakna buat peminat bola sepak," katanya.
Perlawanan yang julung kalinya di Shah Alam itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro 825, bermula jam 8.00 malam pada 27 Februari depan.
Bagi pelanggan bukan pakej sukan Astro pula boleh menontonnya dengan membeli pas bernilai RM2.99.
Hasil kutipan perlawanan itu yang turut membabitkan penajaan akan disalurkan untuk tujuan kebajikan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLUFC, Stanley Bernard Stephen Samuel melahirkan rasa gembira kerana menjadi sebahagian daripada pasukan itu.
"Saya berharap dapat mendekatkan diri dengan peminat kami melalui perkongsian ini bersama Astro.
"Kami teruja untuk berkongsi kisah unik kami dan menunjukkan emosi serta kerja keras kami menjelang dan pada setiap perlawanan," katanya.
#safee sali
#shah alam
#bola sepak
#sukan
#KLUFC
#Astro
#Stanley Bernard Stephen Samuel
#Liga Super Malaysia