Astro dan Maxis meraih sokongan untuk mengumpul dana bagi mangsa-mangsa tsunami Sulawesi
Astro Awani
Oktober 10, 2018 15:13 MYT
Oktober 10, 2018 15:13 MYT
Menyahut panggilan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada negara-negara ASEAN untuk membantu Indonesia memulakan tugas pemulihan berikutan bencana gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dan Maxis Berhad (Maxis) telah melancarkan sebuah kempen untuk mengumpul dana bagi Tabung Bencana Gempa Bumi & Tsunami Sulawesi.
Sehubungan ini, Astro dan Maxis akan membuat sumbangan bersama sebanyak RM5 juta ke Tabung tersebut.
Sumbangan bersama dari Astro dan Maxis ini bertujuan untuk membantu dalam usaha pemulihan Sulawesi, khususnya membangun semula sekolah dan komuniti. Kedua-dua Astro dan Maxis sentiasa menyokong kepentingan peranan pendidikan dalam menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan komuniti yang mampan.
Di samping itu, Astro juga akan menggunakan waktu tayangan dari TV, radio dan digital serta bakatnya bagi satu kempen untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk membantu nasib Sulawesi.
Astro akan terus menyediakan liputan berita komprehensif mengenai usaha menyelamat dan pembinaan semula menerusi Astro Awani.
Sementara itu, orang ramai yang berminat untuk menderma dana boleh mengunjungi www.maxis.com.my, www.hotlink.com.my atau www.astro.com.my untuk maklumat lanjut mengenai Tabung Bencana Gempa Bumi & Tsunami Sulawesi.
Sumbangan RM5 juta itu disampaikan oleh Tun Zaki Azmi, Pengerusi Astro, dan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Maxis, kepada Dr Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang juga menteri yang menjaga dana tersebut.
Turut hadir pada majlis ialah Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Malaysia, Henry Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Dilantik Astro dan Robert Nason, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Maxis.
Dr Mahathir berkata: “Kemusnahan yang berlaku amat besar. Kami mengalu-alukan sumbangan kepada rantau ini. Saya berterima kasih kepada Maxis dan Astro diatas sumbangan mereka kepada Tabung Bencana Gempa Bumi & Tsunami Sulawesi.”
Tun Zaki berkata, “Ia amat menyedihkan apa yang sedang dilalui oleh rakyat Palu, akibat tragedi yang melanda Sulawesi pada minggu lalu. Sebagai negara jiran di rantau ASEAN, kami amat mempercayai bahawa ia adalah tanggungjawab kami untuk menghulurkan bantuan.
"Inilah semangat ASEAN. Sumbangan kami akan digunakan ke arah membina semula sekolah dan masyarakat di Palu, kerana kami percaya bahawa terdapat sekolah-sekolah yang telah rosak atau musnah. Kami sentiasa mengenangkan mangsa dan sukarelawan yang sedang bekerja tanpa mengenal penat lelah.”
“Kami sedih dengan tragedi yang melanda Palu dan kemusnahan yang memberi kesan kepada rakyatnya. Ia juga amat penting bahawa orang ramai dapat terus berhubung terutamanya dengan negara lain.
"Oleh itu, kami menggalakkan pelanggan Hotlink RED untuk berhubung dengan orang yang tersayang dengan memanfaatkan panggilan percuma ke Indonesia yang kini tersedia untuk mereka. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Astro dalam memberi sumbangan ini, yang kami harap akan membantu usaha negara dalam meringankan beban, terutamanya mereka yang terjejas, pada masa yang sukar ini,” kata Raja Tan Sri Arshad.
Selain daripada sumbangan mereka terhadap nasib Sulawesi, kedua-dua Astro dan Maxis mengekalkan komitmen berterusan kepada bantuan kemanusiaan tempatan dan mempertingkatkan pendidikan kanak-kanak di luar bandar Malaysia menerusi usaha Tanggungjawab Sosial Korporat berterusan masing-masing.
#Astro Malaysia Holdings Berhad
#Gobind Singh Deo
#henry tan
#Maxis Berhad
#pengerusi
#Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda
#Saifuddin Abdullah
#sumbangan
#Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi
#Tun Dr Mahathir Mohamad