Astro AWANI unggul di pentas Asia, menang emas Anugerah DMA 2023 kategori 'Best in Audience Engagement'

Hilal Azmi
Oktober 19, 2023 18:31 MYT
Inisiatif digital terbaharu yang diperkenalkan pada Pilihan Raya Umum ke-15, tanda pagar #SuaraMalaysia berjaya merangkul emas.
SINGAPURA: Astro AWANI sekali lagi menguasai pentas Asia apabila inisiatif kandungan editorial merentas platform diiktiraf antara yang terbaik bagi kategori 'Best in Audience Engagement' Digital Media Asia Awards 2023.
Inisiatif digital terbaharu yang diperkenalkan pada Pilihan Raya Umum ke-15, tanda pagar #SuaraMalaysia berjaya merangkul emas.
Selain itu kempen #MalaysiaMemilih pula mengekalkan kejayaan memenangi anugerah perak pada tahun ini yang mana anugerah ini pernah dimenangi bagi kategori yang sama pada 2018.
Tanda pagar #SuaraMalaysia dan #MalaysiaMemilih merupakan inisiatif sinergi kandungan pelbagai platform dan masyarakat yang mendominasi perbualan terutamanya di ruang digital semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.
Dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Berita Sedunia (WAN-IFRA), DMA2023 merupakan anugerah tahunan bertujuan memartabat media-media antarabangsa yang kreatif melaksana idea dan strategi kandungan media dalam era yang sarat dengan pelbagai cabaran ketika ini.
Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail mewakili 'Team AWANI' bagi menerima anugerah DMA2023 yang berlangsung di Singapura pada Khamis.
Ini merupakan anugerah emas ketiga yang dimenangi Astro AWANI di peringkat Asia dalam tempoh dua tahun.
Pada tahun 2022, anugerah emas yang dirangkul ialah kategori 'Best Branded/Sponsored Content Campaign' atau kandungan jenama dan kategori Projek Khas Terbaik COVID-19 ialah kandungan digital COVID-19.
Kemenangan ini sekali gus mengukuhkan lagi komitmen platform berita itu untuk mengembangkan kandungan digitalnya ke tahap lebih tinggi. Selain Astro AWANI, platform antarabangsa lain yang turut dicalonkan termasuk Yahoo, MediaCorp, The Strait Times (SPH Media), South China Morning Post, Stuff, Zing News dan banyak lagi.
Sementara itu, rakan strategik media Astro AWANI, Sinar Harian berjaya memenangi anugerah perak bagi kategori ‘Best News Website’.
Pada majlis sama, Star Media Group memenangi anugerah emas bagi kategori ‘Best Native Advertising / Sponsored Content Campaign’ untuk kempen ‘Sime Darby Property – ERKC Sustainability’.
#Astro Awani #Anugerah Emas #Digital Media Asia Awards 2023 #Singapura
;