Astro AWANI raih anugerah Perak dalam kategori Penglibatan Media Sosial Terbaik ADMA2018

Astro Awani
November 8, 2018 19:50 MYT
#MalaysiaMemilih merupakan tanda pagar utama kempen pilihan raya umum yang telah menjana lebih 75 peratus perbualan mengenai PRU14 di platform media sosial dan menjadi topik trending sepanjang musim pilihan raya tersebut. - Foto Astro AWANI
Program khas sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Malaysia Memilih yang bersiaran di Astro AWANI pada Mei lalu, menerima Anugerah Perak pada Anugerah Media Digital Asia 2018 (ADMA2018).
Melalui program tersebut, Astro AWANI dicalonkan dalam kategori Penglibatan Media Sosial Terbaik menerusi tanda pagar #MalaysiaMemilih.
Editor Eksekutif dan penyampai Astro AWANI, Ashwad Ismail ke Hong Kong bagi menerima anugerah tersebut.
Dianjurkan dengan kerjasama WAN-INFRA dan Google, ADMA2018 bertujuan memartabat penyiar antarabangsa yang berjaya mengadaptasi strategi media digital sebahagian daripada produk mereka dalam menangani cabaran-cabaran baharu dalam era penyiaran dewasa ini.
#MalaysiaMemilih merupakan tanda pagar utama kempen pilihan raya umum yang telah menjana lebih 75 peratus perbualan mengenai PRU14 di platform media sosial dan menjadi topik trending sepanjang musim pilihan raya tersebut.
Calon lain dalam kategori tersebut adalah Perempuan Bisa dari Indonesia dan Stomps fights fake news & get things done dan What’s Good dari Singapura.
Selain #MalaysiaMemilih sebagai tunjang kempen tersebut, Astro AWANI turut memperkenalkan tanda pagar bertema antaranya #AkuMengundiMana, #TerimaKasihYB, #JomBalikMengundi, #IniKisahKita, #JalanKePutrajaya, #PilihanMalaysia dan #MalaysiaBaharu.
Program khas Malaysia Memilih telah ditonton 10 juta penonton di kaca televisyen, 12 juta pengunjung unik dan lebih 84.5 juta akses paparan halaman di www.astroawani.com dan www.malaysiamemilih.com.
#Asia #Astro Awani #Google #Hong Kong #Malaysia Memilih #media sosial #pilihan raya umum #PRU14 #televisyen #WAN-INFRA
;