Astro AWANI pilihan pertama PRU15 buat penonton, platform media sosial dan digital

Hasimi Muhamad
Disember 31, 2022 10:00 MYT
Di Astro AWANI, semua perjalanan landskap politik ini dibawakan secara komprehensif di saluran 501 AWANI, Astro AWANI.com serta semua platform media sosial berkaitan PRU15. - Astro AWANI
SEJAK beberapa bulan lalu, situasi politik Malaysia menjadi tumpuan pelbagai pihak.
Daripada teka-teki tarikh pembubaran Parlimen sehingga kepada persoalan gabungan manakah yang akan membentuk kerajaan baharu - semua itu menjadi ramalan rakyat dan pemerhati politik.
Tetapi segalanya ternoktah selepas Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober apabila mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Proses penamaan calon ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 November, pengundian awal pada 12 November manakala hari mengundi (19 November).
Berbeza dengan PRU-PRU sebelum ini, PRU15 merekodkan sejarah tersendiri apabila beberapa negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, dengan alasan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi banjir.
DUN Sabah, Melaka dan Johor serta Sarawak pula belum mencapai tempoh matang kerana baru melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum itu.
Ibu segala pilihan raya itu turut menyaksikan kejutan demi kejutan - bermula daripada pengumuman calon daripada parti dan gabungan; kerjasama politik PRU15; manifesto; penyertaan pengundi pertama kali; sehingga kepada detik pengumuman keputusan.
Buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia, tiada satu pun parti atau gabungan yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Siri rundingan kemudian dijalankan bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong: "Tiada pihak yang menang semua, tiada pihak kalah semua."
Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbentuk dengan gabungan Pakatan Harapan (PH); Barisan Nasional (BN); Gabungan Parti Sarawak (GPS); Gabungan Rakyat Sabah (GRS); Parti Warian (Warisan); Bebas; Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM); serta Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Perikatan Nasional (PN) pula yang memenangi 74 kerusi memutuskan untuk menjadi pembangkang.
Di Astro AWANI, semua perjalanan landskap politik ini dibawakan secara komprehensif di saluran 501 AWANI, astroawani.com serta semua platform media sosial berkaitan PRU15.
Menurut Kantar, Similarweb, Astro AWANI yang merupakan saluran berita televisyen 24 jam menjadi pilihan pertama bagi mengikuti perkembangan PRU15 khususnya pada 19 dan 20 November 2022.
Sebagai saluran berita dipercayai selama lima tahun berturut-turut, Astro AWANI mencatatkan 6.9 juta penonton unik pada dua hari berkenaan.
Platform digital Astro AWANI turut mendahului dengan meraih trafik tertinggi pada 18 dan 19 November, dengan 28 peratus daripada pengguna memilih platform saluran berita itu untuk keputusan tidak rasmi dan rasmi PRU15 di pru.astroawani.com.
Selain itu, Astro AWANI turut merekodkan peratusan tertinggi dalam penyaluran maklumat PRU15 mulai jam 6 petang pada hari pengundian sehingga jam 8 pagi, hari berikutnya berbanding portal berita lain.
Pada 19 November, platform digital Astro AWANI merekodkan 3.8 juta pengguna unik yang menyumbang kepada 25 juta paparan halaman dalam tempoh sehari.
Semua platform media sosial Astro AWANI pula mencatatkan pertumbuhan luar biasa apabila menerima jumlah pelawat sebanyak 85 juta penonton.
Daripada jumlah tersebut, platform TikTok menduduki ranking teratas dengan 41.6 juta; diikuti YouTube (23.7 juta); Facebook (18 juta); manakala Twitter meraih 1.9 juta berbanding saluran berita lain.
Bagi segmen penonton pula, kumpulan yang memilih Astro AWANI terdiri daripada golongan B40, M40, serta T20.
Selain membawakan maklumat terkini bersama penganalisis politik dan wartawan di lapangan dari pelbagai lokasi, bermula 17 Oktober juga Astro AWANI mengangkat tema Malaysia Memilih sempena PRU15.
Dalam setiap segmen berita, soalan berbentuk kaji selidik akan disediakan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Soalan-soalan baharu akan dikemukakan bermula pukul 12 tengah malam dan keputusan akan dikongsikan pada hari berikutnya.
Ketika ini, Astro AWANI terus mengikuti rapat perkembangan semasa menerusi segmen Pantau Kerajaan Baharu.
#Anwar Ibrahim #keputusan PRU15 #Astro AWANI saluran berita dipercayai #Kerajaan Perpaduan
;