Astro AWANI muncul aplikasi berita paling banyak dimuat turun di Google Play Store di Malaysia

Firdaus Azil
Julai 9, 2020 16:04 MYT
Dalam kategori berita, ia diikuti aplikasi The Star dan Berita Harian Mobile, yang masing-masing menduduki tangga ke sembilan dan ke 14.
Astro AWANI terus mengekalkan reputasinya sebagai sumber berita paling dipercayai di negara ini apabila ia menjadi aplikasi berita paling tinggi dimuat turun di Google Play Store di Malaysia.
Menurut portal teknologi SimilarWeb, aplikasi berita Astro AWANI itu berada di kedudukan teratas dan diikuti dua aplikasi berita tempatan yang lain, The Star dan Berita Harian, yang masing-masing berada di tangga ke sembilan dan ke-14.
SimilarWeb merupakan laman web yang membekalkan perkhidmatan analitik perniagaan berpangkalan di New York, Amerika Syarikat. Syarikat itu menawarkan pelanggannya informasi tentang rekod trafik laman web, sumber rujukan, analisis demografi serta beberapa ciri lain.
Pemilihan Astro AWANI adalah berdasarkan algoritma yang mencatat kekerapan muat turun semasa dan pengguna aktif di dalam negara.
Aplikasi berita Astro AWANI memuatkan berita mutakhir, komprehensif dan kredibel termasuk berita politik, am, ekonomi, ekonomi, hiburan dan sukan.
Pada bulan lepas, Institut Kajian Berita Digital Reuters 2020 dalam laporannya meletakkan Saluran televisyen berita 24 jam, Astro AWANI menduduki tangga pertama Jenama Berita Yang Paling Dipercayai di Malaysia.
Ia diikuti Radio Televisyen Malaysia (RTM) di tempat kedua dan The Star di tempat ketiga.
"Astro AWANI menduduki tempat teratas bagi jenama berita yang paling dipercayai, yang turut mengetengahkan pendekatan kritikal dalam perbincangan mengenai berita dan hal ehwal semasa," kata laporan itu lagi.
BACA: Astro AWANI Jenama Berita Paling Dipercayai di Malaysia
Manakala, bagi capaian offline dan online mingguan, Astro AWANI berada di tempat kedua, selepas TV3 untuk kategori televisyen, radio dan media cetak.
Harian Metro dan Berita Harian masing-masing di tempat ketiga serta keempat.
Pada tahun 2019, Astro AWANI berada di tempat kedua bagi Jenama Berita Yang Paling Dipercayai di Malaysia, manakala bagi tahun 2018, Astro AWANI berada di kedudukan teratas menurut Laporan Berita Digital Reuters.
#aplikasi #Astro #Astro Awani #Google #Google Apps Store #Malaysia #Media #online #Twitter
;