Astro AWANI lancar 'Makmal Pengesahan Fakta' dikuasakan AI menjelang debat
Astro Awani
Ogos 9, 2023 16:16 MYT
Ogos 9, 2023 16:16 MYT
KUALA LUMPUR: Saluran Berita dan Hal Ehwal Masa Depan 24/7, Astro AWANI melancarkan Makmal Pengesahan Fakta yang dikuasakan oleh AI bersempena "Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia" yang akan diaktifkan pada Rabu, 9 Ogos 2023 di ruang berita Astro AWANI di Pusat Penyiaran Asia, Taman Teknologi MRANTI, di sini.
Sempena pelancaran inisiatif ini, Astro AWANI juga telah menjemput ahli ekonomi dan akademik terkemuka, Datuk Dr Madeline Berma untuk membantu dalam pengesahan fakta.
Makmal Pengesahan Fakta ini akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini untuk menyemak dengan teliti fakta, data, serta konteks maklumat yang akan dipersembahkan oleh setiap pendebat.
Dengan kerjasama Madeline Berma, makmal ini berhasrat mengekalkan ketepatan dan ketelusan dalam perbincangan mengenai hal-hal berkaitan ekonomi.
Makmal Pengesahan Fakta ini juga akan disiarkan secara langsung melalui platform sosial media Astro AWANI untuk memberikan pandangan tentang operasi dalaman makmal tersebut.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Astro AWANI dalam memupuk budaya kredibiliti dan tanggungjawab dalam media, dan “Makmal Pengesahan Fakta” ini adalah satu langkah besar untuk mencapai objektif tersebut.
Operasi Makmal ini akan mengambil pendekatan telus dan tidak berpihak, serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada ketepatan maklumat yang dibentangkan oleh pendebat.
Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia yang menampilkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dijadualkan berlangsung pada Rabu, 9 Ogos 2023.
Debat ini akan disiarkan secara langsung di Astro AWANI dan RTM.
#Astro Awani
#Rafizi Ramli
#Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia
#Makmal Pengesahan Fakta
#Syahir Sulaiman